TERENGGANU: Empat anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Besut ditahan polis pada Rabu bagi membantu siasatan susulan kematian sukarelawan Perhilitan akibat terkena letupan senapang patah, Selasa. Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Zulkifli Mat Deris berkata lima lelaki berkenaan termasuk mangsa, Kamarul Zaman Mat Ali, 58, pergi menjejaki gajah liar di Kampung Pelong pada pukul 10 pagi Selasa. Difahamkan mereka membawa senjata jenis ‘Baretta Auto Loaded' ke dalam hutan dan kemudian meletakkan senjata tersebut di dalam kenderaan Hilux secara menegak yang dinaiki mereka sejurus selepas menembak seekor babi hutan yang dijumpai mereka dalam perjalanan. "Bagaimana pun pada kira-kira pukul 11.55 malam, senjata tersebut meletup secara tiba-tiba semasa kenderaan tersebut bergerak lalu terkena mangsa yang berdiri di bahagian belakang kenderaan tersebut. "Peluru tersebut mengenai dada dan lengan mangsa, bagaimanapun rakan mangsa yang lain termasuk yang berdiri di sebelahnya tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya. Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Setiu oleh rakan-rakannya untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan. Kesemua rakan mangsa yang berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. - BERNAMA