MARANG: Ketua Amanah Marang, Miqdad Zakaria yang disebut-sebut akan bertanding untuk ‘kerusi panas’ di Parlimen Marang mengesahkan tidak akan bertanding pada PRU14. Miqdad merupakan anak saudara kepada penyandang Parlimen tersebut yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Pengumuman itu turut dinyatakan di Facebooknya pada Rabu sambil membuat permohonan maaf kepada semua ahli khususnya jawatankuasa Amanah Marang jika tindakan itu mengecewakan ahli-ahli parti. “Ana (saya) ingin memohon maaf jika keputusan ana kali ini banyak akan mengguriskan hati kalian semua. “Untuk meredakan keadaan yang tegang di antara kita, dengan ini ana dengan rela hati menarik diri daripada bertanding di PRU14 kali ini,” katanya. Bagaimanapun, beliau meminta jentera parti terus membantu calon-calon Pakatan Harapan berdepan BN dan PAS pada pilihanraya kali ini kerana ia merupakan agenda utama yang lebih penting. Kelmarin, wakil Amanah Marang menghubungi Sinar Harian untuk mengadakan satu sidang media sepatutnya berlangsung petang ini, namun dibatalkan apabila Miqdad mengumumkan untuk tidak bertanding. Difahamkan sidang media berkenaan diadakan bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung calon baharu Amanah yang dikatakan akan bertanding di Parlimen Marang dan DUN Bukit Payong. Miqdad di laman Facebooknya turut memaklumkan pembatalan sidang media berkenaan yang dirancang untuk diadakan di Pejabat Pakatan Harapan Marang di Wakaf Dua di sini, petang Rabu. “Batalkanlah niat untuk adakan sidang akhbar... Selepas PRU kita akan sama-sama bekerja macam biasa. Sekarang ini tumpu agenda kalahkan BN dan... Agenda ini lebih utama berbanding agenda kita semua. “Akhirnya, ana (saya) memohon maaf sekali lagi kepada semua sahabat-sahabat kerana telah menarik diri daripada bertanding di PRU kali ini,” katanya. - Sinar Online