suria

Penceroboh hutan simpan termasuk warga Bangladesh ditahan

Gambar dari Sinar Harian.

IPOH: Jabatan Perhutanan Negeri berjaya mematahkan cubaan dua penceroboh termasuk seorang warga Bangladesh yang menjalankan kerja-kerja pengambilan tanah di Hutan Simpan Piah, Kuala Kangsar, Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Operasi, Ramli Mat berkata, berdasarkan risikan, suspek melakukan perbuatan itu di kompartmen 105 hutan berkenaan dengan nilai kerugian RM4,000.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kira-kira 30 lori tanah daripada hutan simpan berkenaan dikeluarkan dengan anggaran 150 tan tanah yang bernilai RM40,000.

“Jabatan menyita dua lori tanpa nombor pendaftaran dan sebuah excavator serta menahan dua suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, Selasa.

Ramli berkata, pihaknya turut mengesan cubaan menebang pokok secara haram di kawasan hutan simpan di Lenggong dan Hutan Simpan Bintang Hijau, Daerah Larut Matang pada 6 dan 11 April lalu.

“Kedua-dua kes tersebut dibuat laporan polis dan semua barang-barang seperti motosikal Honda EX5, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux serta kayu proses dihantar ke stor rampasan di Bandariang, Gerik dan Kuala Trong.

“Hasil rampasan merupakan kayu dari pelbagai spesies seperti Balau, Merbau dan Cengal yang dianggar RM600,000,” katanya.

Katanya, pihaknya akan melengkapkan ketiga-tiga kertas siasatan sebelum merujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk proses pendakwaan.

“Kita mengenal pasti modus operandi suspek berubah dari penebangan balak haram kepada kayu proses. Jabatan akan meneruskan risikan bagi mengekang aktiviti pencerobohan di hutan simpan kekal,” katanya. - Sinar Harian

ceroboh hutan

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan