PETALING JAYA: Pereka fesyen tersohor negara, Datuk Rizalman Ibrahim yang mengenali rapat Zaihani Mohd Zain mendedahkan sisi di sebalik keperibadian pengkritik fesyen itu yang kini dilanda kontroversi kerana membuat kenyataan ‘paha melimpah’ baru-baru ini. Sebagai seorang sahabat, Rizalman berkata, beliau hanya mampu mengurut dada apabila pertama kali membaca status berkenaan yang telah mengundang kritikan pelbagai pihak. Malahan beliau hanya mampu berharap dan berdoa agar Zaihani yang lebih mesra dipanggil sebagai Kak Zai itu segera memohon maaf walau apa saja alasan yang diberikan berdasarkan pengalaman wanita berkenaan ketika insiden itu berlaku. ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan niat saya untuk menghina tapi…” – Kak Zai “Tahukah anda Zaihani yang saya kenal walaupun beliau seorang yang lantang, berpakaian tidak seiring usia atau mempunyai keterampilan Islamik seperti yang kita harapkan. Namun, beliau yang saya kenali sentiasa menjinjing beg telekungnya ke mana-mana dan sentiasa menghadiri pertunjukan fesyen bermula dengan menanti di dalam surau berdekatan supaya tidak terlepas mana-mana waktu solat,” ujar Rizalman menerusi posting di laman sosial Instagram peribadinya pada Khamis. Dalam hal ini, apa yang cuba disampaikan Rizalman adalah keadaan yang dialami Kak Zai itu menunjukkan betapa masyarakat begitu hampir dengan keterbukaan untuk mencaci tanpa melihat kelemahan diri sendiri. “Dunia media sosial adalah cerminan pada ‘mahkamah Masyhar’. Setiap apa yang lahir pada lidah serta hati kita akan dirakam setiap saat dan dipamerkan nanti pada seluruh generasi manusia dan dipertimbangkan dengan seadilnya, sama ada kita menzahirkannya pada medium media sosial atau tidak. “Jadi, awaslah hati dan tingkah laku kita dari sekarang kerana jika anda melihat isu ini dari sudut keimanan maka anda akan dapat jawapannya. A post shared by rizalman71 (@rizalman71) on Apr 18, 2018 at 8:46pm PDT “Mungkin sekarang, Zaihani menjadi ‘orang yang paling suci di dunia’ dek kecaman dan kurangnya usul periksa kita. Dan segala komen-komen kita berbaur penghinaan kita itu telah memberatkan timbangan dosa kita,” ujar Rizalman sambil menambah bahawa pandangannya itu juga merupakan kesedaran buat dirinya sendiri. Terdahulu, Kak Zai menerusi laman sosial membuat permohonan maaf berhubung kenyataannya mengenai individu berbadan besar. “Bukan niat saya untuk menghina ‘body shame’ (menghina badan seseorang) sesiapa – ahli keluarga, kawan-kawan atau pun para pengikut. “Tapi status FB (Facebook) saya tempoh hari adalah luahan hati mengenai situasi ‘manspreading’ (lelaki duduk terkangkang) yang saya alami baru-baru ini,” katanya. Status Kak Zai di laman sosial Facebook peribadinya baru-baru ini mengundang kecaman apabila mengkritik individu berbadan besar. "Kalau berat badan melebihi 60 kilogram, tak payahlah datang sebabnya paha awak tu melimpah kat kerusi sebelah kiri dan kanan awak. "It's so awkward and uncomfortale for the persons seated next to you (Ia nampak janggal dan tidak selesa bagi mereka yang duduk bersebelahan anda)," tulisnya di Facebook, dipercayai mempunyai kaitan dengan kehadiran individu berbadan besar pada majlis pertunjukan fesyen.