suria

Shahrizat tak tawar diri tanding PRU14

Shahrizat Abdul Jalil. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil tidak akan menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon bagi mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Bagaimanapun Shahrizat berkata, beliau akan mempertimbangkan perkara itu sekiranya dipilih sendiri untuk menjadi calon oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.  

"Bagi saya tugas utama dan tanggungjawab saya adalah untuk memastikan jentera Wanita  Barisan Nasional (BN) itu mantap kerana ini yang menjadi tuntutan utama saya. Tidak menjadi calon bukan keutamaan saya walaupun kita sentiasa ada perbincangan dengan  perdana menteri.

“Saya sendiri tidak menawarkan diri kerana apa yang mustahak pada saya ialah apabila saya dapat ‘deliver'  jentera yang kukuh dan efektif yang membawa kemenangan besar kepada BN, itulah hadiah teristimewa bagi saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis tahlil dan bacaan Yasin  bagi bekas Pengerusi Tetap Wanita Umno, Tan Sri Napsiah Omar, di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis.

Penerima anugerah Tokoh Melayu Terbilang Umno 2017 itu meninggal dunia pada Isnin lepas akibat barah hati.

Menyentuh mengenai pemergian ‘ibu' kepada Wanita Umno itu, Shahrizat berharap lebih ramai veteran Umno mencontohi nilai dan semangat perjuangan politik murni yang ditonjolkan oleh Allahyarham Napsiah sepanjang hidupnya.

“Semasa di awal kemunculan saya di arena politik, (Allahyarham) Tan Sri Napsiah yang memberi kekuatan kepada saya dan saya harap ahli veteran Umno yang lain dapat mencontohi semangat perjuangan beliau yang tiada  hasad dengki, tiada cemburu walaupun sudah berhenti daripada  jawatan-jawatan tertinggi yang dipegang.

“Ini kerana beliau percaya ketaatan dan kesetiaan amat mustahak dalam perjuangan parti kita,” katanya. - Bernama

Shahrizat Abdul Jalil

Artikel Lain