suria

Wanita bertudung ini digelar ‘Wonder Woman’ kerana anak anjing

Sri Diana sanggup mengenepikan rasa takut demi menyelamatkan nyawa seekor anak anjing. - Facebook

PETALING JAYA: Apabila sebut tentang anjing terbiar, pasti ada antara orang awam yang berasa takut untuk mendekatinya kerana bimbang akan dikejar mahupun digigit oleh haiwan tersebut.

Namun, lain kisahnya dengan seorang wanita yang tiba-tiba menjadi berani sebaik sahaja mengetahui nyawa seekor anak anjing terancam selepas terjatuh ke dalam longkang di belakang rumah ibu mertuanya.

Sri Diana Tukidi, 36, berkata, perasaan takutnya tiba-tiba hilang dan tanpa berfikir panjang, dia terus turun ke longkang tersebut untuk menyelamatkan anak anjing yang sudah hanyut dibawa arus longkang akibat hujan lebat.

"Kebetulan ketika itu saya dan suami baru tiba di rumah mak mertua sewaktu saya terbaca perbualan dalam kumpulan Whatsapp keluarga mengenai kejadian tersebut.

"Saya terus berasa panik kerana bimbang tentang keselamatan anak anjing itu yang kelihatan sudah tercungap-cungap di dalam longkang," katanya kepada mStar Online.

Sri Diana turut mengelap badan anak anjing yang kesejukan akibat terjatuh ke dalam longkang.

Kejadian yang berlaku pada petang Isnin di sebuah kawasan perumahan di Nilai, Negeri Sembilan itu tular selepas suaminya, Zairul Annuar Mohd Zin, 40, memuat naik gambarnya menyelamatkan anak anjing berkenaan ke laman Facebook.

Rata-rata netizen berasa tersentuh dengan kemuliaan hati wanita tersebut yang lebih memikirkan tentang nyawa anjing tersebut berbanding pelbagai pandangan dan hukum memegang haiwan itu.

Seorang netizen, Ash Katek berkata: "Terima kasih kerana fikirkan keselamatan anjing itu daripada fikirkan haram memegangnya.

"Contoh terbaik utk umat Islam yang lain... dalam keadaan darurat macam ni, nyawa lebih penting," katanya.

Seorang lagi netizen, Kamala Selvam pula berkata, wanita itu memiliki sifat perikemanusiaan dan kehidupannya pasti akan diberkati sekiranya menyayangi semua hidupan tanpa mengira bangsa.

Paparan skrin daripada posting yang dimuat naik oleh Zairul Annuar pada petang Isnin.

"Awak mempunyai nilai kemanusiaan. Awak dipuji. Jika awak mempunyai nilai kemanusiaan, tanpa mengira haiwan mahupun manusia atau bangsa, awak akan diberkati dan dihormati.

"Kekal bersatu sepanjang masa," tulis Kamala.

Dalam pada itu, Zairul Annuar berkata, dia dan ahli keluarga yang lain belum sempat menawarkan diri untuk menyelamatkan anak anjing itu tetapi isterinya bertindak terlalu pantas kerana sudah turun ke dalam longkang terlebih dulu.

"Setahu saya, dia takut dengan anak anjing tapi disebabkan rasa tanggungjawab mengalahkan rasa takut itu membuatkan dia secara spontan bertindak begitu.

"Timbul rasa bangga ketika melihat dia turun dan saya sempat berkata kepada anak untuk lihat 'Wonder Woman' buat kerja," ujar usahawan tersebut.

selamatkan anjing

Artikel Sebelum

'Order bos?' tanya 'anne' KJ

Artikel Lain