suria

16 ahli Umno fail semakan kehakiman dipecat

Tengku Adnan bersama Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail (empat, kiri) melihat pelan lakaran tapak projek pada majlis pecah tanah parkir kereta bertingkat fasa 4B, Presint 8, Putrajaya pada Sabtu. foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Seramai 16 anggota Umno yang memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membubarkan parti itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat, dipecat hari ini berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan mereka jelas bertentangan dengan fasal 20.7 perlembagaan Umno yang menetapkan mana-mana anggota yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan hilang keanggotaan secara automatik.

“Semua 16 orang ini barangkali gunting dalam lipatan, duri dalam daging. Kalau hendak mengkhianati parti lebih baik keluar parti supaya kita boleh kenal siapa musuh kita, daripada duduk dalam parti jadi anai-anai.

"Saya telah bincang dengan peguam semalam dan semua 16 orang tersebut dipecat. Saya akan keluarkan surat hari ini,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis pecah tanah tempat letak kereta bertingkat di Presint 8 di sini, Sabtu.

Beliau percaya tindakan 16 individu tersebut didalangi pihak luar yang tidak berpuas hati dengan Umno.

“Saya tahu apa yang berlaku kerana puak-puak belah (di sebelah) pembangkang kononnya hendak buat ‘tit for tat’ (balas dendam). Dia tidak boleh jaga parti dia yang ada masalah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan dia tahu dia lemah dan akan kalah, jadi dia buat pelbagai onar,” kata Tengku Adnan.

Semalam, 16 anggota Umno itu mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan Umno sebagai parti politik kerana menangguhkan pemilihan parti.

Tengku Adnan berkata, tuduhan itu tidak berasas memandangkan beliau selaku Setiausaha Agung Umno telah meminta RoS untuk menangguhkan pemilihan sehingga April 2019.

“Kalau RoS tidak beri (kelulusan), kita sudah lakukan (pemilihan parti),” katanya.

Tengku Adnan berkata, laporan sebuah portal berita kononnya Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh menandatangani surat watikah untuk calon parti itu bagi PRU14 susulan pemfailan semakan kehakiman itu juga adalah tidak benar.

“Tiada masalah. Kita mengikut perlembagaan dan kita akur dengan undang-undang yang ditetapkan oleh RoS,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, senarai calon BN bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) akan diumumkan oleh pengerusi BN negeri masing-masing mulai esok hingga Selasa.

Katanya, perkara itu telah dimaklumkan kepada semua BN negeri dan terpulang kepada mereka untuk membuat pengumuman dalam tempoh yang ditetapkan itu.

“Bagi peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, pengumuman calon dan manifesto akan dibuat pada 9 pagi Ahad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),” katanya.

Tengku Adnan berkata, beliau juga telah menerima keputusan saringan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi terhadap semua calon yang telah dipilih untuk mewakili BN pada PRU14. - Bernama

Umno, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan