GEORGETOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebak ketika mengucapkan terima kasih kepada semua Adun dan Ahli Parlimen parti itu yang tidak dipilih sebagai calon pada PRU14 ini. Beliau kelihatan menahan sebak ketika menyampaikan ucapan di hadapan 200 penyokong Pakatan Harapan dan barisan calon DAP di sebuah hotel di Persiaran Gurney di sini, Sabtu. Guan Eng berkata, beliau amat terharu dengan bekas pemimpin DAP yang tetap hadir memberi sokongan kepada muka baharu walaupun tidak dicalonkan untuk sebarang kerusi. "Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada semua Adun dan Ahli Parlimen yang selama ini berjuang untuk parti. "Saya amat menghargai jasa anda semua dan paling buat saya rasa terharu, anda tetap hadir memberi sokongan walaupun tidak dicalonkan. Terima kasih," katanya. Ketua Menteri Pulau Pinang itu berucap pada Majlis Pengumuman Calon DAP untuk tujuh kerusi Parlimen dan 19 DUN yang akan bertanding dalam PRU14 ini. Pengumuman itu dibuat Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dengan menampilkan lapan muka baharu iaitu M Satees (N09 Bagan Dalam); Heng Lee Lee (N13 Berapit); H'ng Mooi Lye (N19 Jawi); Lee Chun Kit (N25 Pulau Tikus); Gooi Zi Sen (N27 Pengkalan Kota); Ong Ah Teong (N31 Batu Lanchang), Syerleena Rashid (N32 Seri Delima), Joseph Ng Soon Siang (N33 Air Itam). DAP menampilkan 26 calon melibatkan 21 calon lelaki dan lima calon wanita. Antara kerusi Parlimen yang ditukar adalah Jelutong (P050) dengan sebelum ini milik Jeff Ooi Chuan Aun dan kini diganti calon yang juga bekas Adun Seri Delima, RSN Rayer selain Tanjung (P049) oleh Kon Yeow, yang menggantikan Ng Wei Aik. - Sinar Harian