suria

Kawalan keselamatan negara perlu diperketat

KUANTAN: Pas mengesa semua kawalan keselamatan, khususnya di pintu masuk negara diperketat susulan pembunuhan Imam Palestine, Dr Fadi M Albatsh.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ini kerana jenayah senjata api di negara ini semakin berlaku termasuk jenayah berprofil tinggi.

Menurutnya, kegagalan meningkatkan kawalan keselamatan akan menyebabkan negara terdedah dengan ancaman dan keganasan  bersenjata, malah menjadikan negara sebagai zon tidak selamat.

“Pas percaya tindakan pantas dan profesional Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan siasatan terperinci,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad susulan pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur itu yang ditembak 10 das di hadapan kediaman beliau.

Februari tahun lalu, negara digemparkan dengan kematian abang ipar Presiden Korea Utara, Kim Jong Nam, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Nasrudin berkata, jika negara menjadi sasaran ejen atau organisasi ganas antarabangsa yang mungkin menyasarkan tokoh Islam tertentu yang berada dalam negara ia mengundang rasa tidak selamat masyarakat.

Tambahnya, masyarakat pasti akan berada dalam ketakutan, bahkan pasaran ekonomi negara terencat dan jenayah makin subur.

“Kita tidak mahu kes seumpama ini berulang lagi dalam negara tercinta ini.

"Jadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi yang selamat dan aman buat semua,” katanya.-Sinar Harian

Kawalan keselamatn, PAS

Artikel Lain