suria

Si cilik autisme pertama renang 1km di Laut Cina Selatan

PETALING JAYA: Berenang di laut lepas dengan ombak bergelora dan angin kencang bukan sesuatu yang boleh dilakukan oleh sesiapa saja.

Namun, bagi yang menyahut cabaran mahu meletakkan diri dalam risiko ini, tentunya ia wajar diberi perhatian terutama jika ia melibatkan anak istimewa.

Bagi dua si cilik, Sinan Rauf Mohammad Fairuz, 12 dan Mohammad Dzarif Ahmad Hakimi, 9, mereka  berani meredah ombak menerusi acara Autisme -Renang Perairan Terbuka di perairan Pulau Redang, Terengganu di Laut Cina Selatan pada Sabtu lalu seiring April sebagai bulan kesedaran autisme.

Malah, mereka juga menjadi kanak-kanak autisme pertama di Malaysia yang berjaya melengkapkan renangan sejauh satu kilometer (km) menerusi acara itu.

Jurulatihnya, Hamlatul Hawary Azizan ternyata berbangga dengan pencapaian dua anak didiknya dalam acara berkenaan.

Ketika dihubungi mStar Online pada Isnin, katanya , kejayaan yang dicapai bukan sesuatu yang diusahakan dalam tempoh singkat.

"Sinan misalnya, dia bermula pada 2016 lagi, jadi ia sesuatu yang mengagumkan untuk melihat dia akhirnya berani berenang di laut terbuka pada tahun ini.

"Dzarif pula seorang yang agak cepat belajar, dia bermula pada September tahun lalu dan dalam tempoh lima bulan, dia sudah berupaya berenang di lautan," ujar Hamlatul yang berharap pencapaian ini dapat diiktiraf Rekod Guinness Malaysia (MBOR).

Namun, usaha melatih individu austisme tidaklah semudah yang disangka kerana anak-anak istimewa itu mempunyai kerenah tersendiri.

Menurut Hamlatul, Sinan dan Dzarif mempunyai perasaan takut berbeza dan ia berjaya diatasi sebelum berlangsungnya acara berkenaan.

"Sinan takut naik bot, apatah lagi untuk naik bot dalam jangka masa lama dalam perjalanan ke Pulau Redang. Jadi, dia sering dibawa ke Morib untuk membiasakan diri menaiki bot.

"Dzarif pula takut dengan batu karang, jadi dia sering ditunjukkan visual batu karang untuk menghilangkan ketakutannya. Ini adalah antara usaha lain yang dilakukan selain latihan renang itu sendiri," kata Hamlatul.

Berkat kesabaran dan kesungguhan, Hamlatul akhirnya mampu tersenyum bangga melihat Sinan dan Dzarif berjaya menghabiskan renangan berkenaan.

Menerusi acara itu, Sinan dan Dzarif berenang dalam sesi berasingan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Apa yang lebih membanggakan, Sinan berjaya melengkapkan renangan dalam tempoh 30 minit manakala Dzarif pula berjaya melakukannya dalam tempoh 15 minit sahaja.

Selain Hamlatul, mereka turut diiringi pasukan keselamatan dari The Taaras Beach and Spa Resort yang bersedia dengan sebuah bot sewaktu acara berkenaan berlangsung.

Dalam pada itu, pemilik Hawary Sport Centre (HSC) itu berkata, penganjuran acara berkenaan bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat mengenai kebolehan anak-anak austime yang boleh dibanggakan.

"Walaupun mereka anak-anak austisme, tapi kebolehan mereka dalam bidang-bidang tertentu sangat hebat. Malah, ada pencapaian mereka yang tidak boleh dilakukan individu normal.

"Selain itu, ramai ibu bapa yang mempunyai anak istimewa takut untuk mendedahkan si cilik mereka dengan aktiviti seperti ini, walaupun ia sebenarnya bagus untuk perkembangan minda dan fizikal mereka," ujarnya lagi.


autisme, Pulau Redang, Hamlatul

Artikel Lain