suria

Dua sahabat karib didakwa merompak, menyamar polis

KUALA LUMPUR: Dua sahabat karib didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merompak dua pengawal keselamatan warganegara Pakistan dengan menggunakan sepucuk pistol dan menyamar sebagai anggota polis, awal bulan ini.

Peniaga pasar malam Mohd Izwan Mustama, 36, dan mekanik Rachman Helmi Nordin, 31, yang bersahabat sejak kecil lagi, masing-masing mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama dengan rakan yang masih bebas dengan niat bersama melakukan rompakan terhadap Muhammad Ayaz dan Abul Bosar, masing-masing berumur 30-an, dengan menggunakan sepucuk pistol yang membabitkan kerugian RM1,160.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di tapak projek Residensi Wangsa Meranti, Jalan Meranti, Wangsa Maju di sini pada 12.30 tengah malam, 8 April lepas mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda serta bagi kesalahan kedua atau seterusnya hendaklah dipenjara dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua lelaki itu turut didakwa bersama-sama dengan niat bersama menyamar sebagai anggota polis di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa tidak menawarkan sebarang wang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Peguam K.Komagan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak-anak guamnya perlu menyara keluarga selain bersedia dengan sebarang syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta tiga syarat tambahan iaitu mereka perlu melapor diri di balai polis berdekatan dengan kediaman mereka setiap bulan, dilarang mengganggu saksi pendakwaan serta dilarang meninggalkan Kuala Lumpur tanpa kebenaran mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.-Bernama

merompak, menyamar

Artikel Sebelum

Artikel Lain