suria

Puas walaupun hanya pujian!

Hanya kerana minat, Hasbullah sanggup melepaskan kerjaya sebagai seorang jurutera mekanikal dan memilih untuk menjadi pereka grafik bebas sepenuh masa.

PETALING JAYA: Siapa sangka bermula sekadar hobi, seorang pemuda sanggup menukar kerjaya daripada bergelar jurutera mekanikal kepada pereka grafik sepenuh masa.

Bakat Hasbullah Matt, 26, itu mencuri tumpuan netizen apabila karyanya di atas cawan kertas Starbucks mendapat pujian jenama kopi antarabangsa tersebut.

Graduan Universiti Teknikal Malaysia (Utem) Melaka itu memuat naik gambar pelbagai lakaran yang dihasilkannya pada awal pagi Selasa dengan harapan Starbucks dapat melihat karyanya itu.

"Saya tidak boleh menahan diri apabila melihat cawan 'kosong'... dan hey @StarbucksMY, tolong perasan kehadiran saya!

"Bantu saya kawan-kawan, 'retweet' supaya mereka boleh lihat cawan ini! Terima kasih," tulisnya pemuda berasal dari Alor Setar, Kedah pada posting tersebut.

Karya Hasbullah mendapat perhatian Starbucks Malaysia.

Hasil kerja pemuda yang mesra disapa Aslah itu akhirnya berhasil apabila Starbucks Malaysia membalas tweetnya: "Wow, ia hasil kerja yang hebat lah."

Pereka grafik tersebut melukis watak daripada pelbagai siri anime yang dimuatkan dalam sembilan panel lukisan pada cawan kertas tersebut.

Kata Hasbullah kepada mStar Online, dia menggunakan empat pen pelbagai saiz dan mengambil masa selama enam jam bagi menyiapkan lakaran tersebut.

Hasbullah memuatkan pelbagai karakter anime dalam sembilan panel di atas permukaan cawan kertas ini.

"Kalau nak dibandingkan, melukis di atas cawan kertas adalah lebih susah daripada kertas biasa.

"Kebiasaannya, saya hanya mengambil masa selama dua jam untuk melukis di kertas, tetapi untuk karya ini saya perlukan enam jam untuk menyiapkannya," ujarnya.

Tambahnya, dia yang bekerja dari rumah di Sungai Petani, Kedah sering menghasilkan lakaran kulit buku 'indie' dan bergantung kepada permintaan pelanggan.

Ketika ditanya tentang nilai lakaran pada cawan kertas tersebut, Hasbullah berkata: "Saya tidak terfikir untuk menjualnya, tetapi ada beberapa individu yang menghantar pesanan peribadi untuk bertanya mengenai harga.

"Kalau saya nak jual mungkin dalam RM200," katanya.

Antara karya Hasbullah yang lain.

anime, cawan kertas, starbucks

Artikel Lain