suria

Lebih 50,000 graduan dikecualikan bayaran balik PTPTN

Gambar hiasan

KULIM: Hingga Mac 2018 lepas, seramai 50,153 graduan kelas pertama di seluruh institusi pengajian tinggi di negara ini dikecualikan untuk pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengurus Besar Kanan Jabatan Pemasaran Dan Komunikasi Strategik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Abdul Ghaffar Yusop berkata keseluruhan jumlah pinjaman yang dikecualikan itu ialah RM1.526 bilion.  

"Di Kedah sahaja, seramai 3,346 graduan kelas pertama mendapat kelebihan ini, yang mana jumlah pinjaman mereka ditukar kepada status biasiswa, berjumlah RM96.91 juta.   

"Ini adalah antara kaedah kerajaan melalui PTPTN, mengiktiraf pelajar cemerlang di semua institusi pengajian tinggi, tidak kira awam atau swasta," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah 2018 Peringkat Parlimen Kulim-Bandar Baharu di sini pada Selasa.   

Pada program tersebut, seramai 1,940 pelajar Tahun Satu dalam Parlimen Kulim-Bandar Baharu menerima Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah 2018 bernilai RM100 seorang dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia(SSPN1M).

Abdul Ghaffar berkata jumlah graduan kelas pertama yang dikecualikan pembayaran semula itu dijangka meningkat menjelang hujung tahun ini.

"Saya percaya, ramai siswazah mula sedar dan berubah dari aspek pemikiran serta budaya terhadap ilmu apabila daya saing semakin meningkat dan rata-rata mereka mahu berebut kelebihan ini," katanya.   

Dalam pada itu, jumlah pendeposit SSPN1M melalui SSPN1M-I dan SSPN1M-iPlus turut meningkat kepada pembukaan 3.41 juta akaun dengan deposit berjumlah RM3.61 bilion setakat 31 Mac lepas.

Beliau berkata peningkatan ini turut melibatkan pendeposit dari luar bandar.

"Ramai ibu bapa daripada semua peringkat sosioekonomi semakin sedar mengenai simpanan pendidikan ini, memandangkan perbelanjaan pendidikan bukan murah dan mahu membuat persiapan seawal mungkin bagi memastikan anak mereka dapat belajar dengan baik," katanya. - Bernama

PTPTN

Artikel Sebelum

Puas walaupun hanya pujian!

Artikel Berikut

Artikel Lain