suria

Ejen pelancongan buntu kena pulangkan RM170,000 kos tiket

Nurzahidah tampil membersihkan namanya daripada dikaitkan dengan isu penipuan tiket penerbangan.

PETALING JAYA: Tidak dinafikan setiap perniagaan pasti ada risiko dan semakin besar nilai pelaburan, tentunya bertambah tinggi kemungkinan seseorang itu menanggung rugi.

Begitulah yang dilalui seorang wanita yang tular di laman sosial kerana menjadi buruan pelanggannya hingga memutuskan untuk tampil selepas namanya terpalit dengan dakwaan menipu duit tiket penerbangan yang mencecah hampir RM170,000. 

Tambah menggusarkan pelanggan apabila Nurzahidah Na'eme, 26, bertindak menyahaktifkan akaun Facebooknya sehingga menyebabkan mangsa berasa bimbang sekiranya wanita itu ingin melarikan diri.

Menjelaskan perkara itu, Nurzahidah berkata: "Ketika isu itu tular, saya jadi panik dah tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Saya terpaksa menutup akaun Facebook buat sementara waktu bagi menenangkan diri.

"Saya bukan nak lari, tapi tengah cari penyelesaian dan sudah pun mendapatkan nasihat peguam untuk membantu saya dalam kes ini. Sebenarnya, saya juga mangsa keadaan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Mangsa mendakwa tertipu selepas tidak memperoleh tiket penerbangannya ke Osaka, Jepun.

Pada Selasa, seorang wanita memuat naik posting di Facebook dan mendakwa Nurzahidah sebagai ejen pelancongan yang tidak bertanggungjawab kerana gagal mengemukakan tiket ke Osaka, Jepun untuk lapan orang pelanggan bagi perjalanan pada Ahad lalu.

Mangsa turut mendakwa pihaknya telah membuat pembayaran penuh sebanyak RM4,720 ke akaun syarikat MFNZ Legacies Enterprise pada 28 Mac lalu.

Rentetan daripada insiden tidak mendapat tiket seperti dijanjikan, mangsa mendakwa turut mengalami kerugian sebanyak RM3,000 kerana telah menjelaskan bayaran penginapan untuk percutian selama tujuh hari di Osaka.

Dakwa Nurzahidah, dia hanyalah orang tengah yang menguruskan bayaran tiket dan semua wang telah diserahkan kepada ketuanya yang juga pembekal tiket bagi melancarkan operasi syarikat.

Nurzahidah membela diri menerusi posting yang dimuat naik ke laman Facebook pada Selasa.

Bagaimanapun, ketuanya itu didakwa telah menghilangkan diri dan enggan bertanggungjawab terhadap isu tersebut sehingga memaksa Nurzahidah membuat laporan polis bagi melindungi dirinya dan keluarga daripada tindakan para pelanggan.

"Selepas saya memuat naik status di Facebook bagi menceritakan keadaan sebenar, ketua itu telah menghubungi saya sambil menangis dan merayu agar saya menurunkan posting tersebut.

"Saya masih percayakan dia kerana sebelum ini dia akan menyediakan tiket biarpun pada saat akhir, tapi tidak sangka dia sanggup buat begini," ujarnya yang mendakwa ada pelanggan yang berani menyerang ibunya di kedai bagi menuntut wang mereka.

Ibu kepada bayi perempuan berusia sembilan bulan itu berharap agar semua pelanggan untuk bersabar sementara pihaknya berusaha menyelesaikan kes tersebut.

Menurutnya, dia turut mengalami kerugian sebanyak RM58,524 kerana telah menggunakan wang sendiri untuk membelikan tiket pelanggan daripada pembekal tiket yang sama.

ejen pelancongan, tiket murah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain