KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd menawarkan pemindahan dana antara bank tanpa fi melalui CIMB Clicks (www.cimbclicks.com.my) dan aplikasi perbankan mudah alih CIMB EVA kepada pelanggannya, tanpa mengambil kira jumlah transaksi, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memacu penggunaan pembayaran digital. Dalam kenyataan di sini, bank itu berkata fi GIRO Antara Bank (IBG) sebanyak RM0.11 setiap transaksi dan fi Pemindahan Dana Antara Bank (IBFT) sebanyak RM0.53 setiap transaksi akan dikecualikan dengan serta-merta. Pengumuman itu juga sebagai menyokong agenda masyarakat tanpa tunai Bank Negara Malaysia, menurut bank itu. “Sejak tiga tahun lepas, kami telah menyaksikan transaksi digital berkembang dengan Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) hampir kepada 40 peratus dan transaksi mudah alih dengan CAGR sebanyak 90 peratus,” kata CIMB. Bank itu turut yakin pemindahan dana tanpa fi itu akan menggalakkan lebih ramai pelanggan beralih kepada pembayaran elektronik selain membantu membangunkan ekosistem e-pembayaran Malaysia. CIMB Clicks yang dinaik taraf serba baharu itu, dilancarkan pada 17 Mac, memberi pengalaman pengguna yang lebih baik, akses yang cepat ke akaun dan transaksi, keselamatan yang lebih baik, selain penawaran dan promosi. CIMB berkata sejak pelancaran CIMB Clicks yang baharu, pendaftaran pengguna baharu meningkat lebih 30 peratus berikutan mudah untuk melayarinya dan pengalaman pengguna yang lancar di komputer meja, tablet dan telefon bimbit. - Bernama