suria

'Seksi Thai Kick Boxing' kena serbu

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah pusat hiburan elit di Kuala Lumpur awal pagi tadi dan menahan 21 orang wanita warganegara Thailand dan tujuh lelaki warganegara Bangladesh yang bekerja di premis berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata hasil risikan mendapati terdapat aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral dijalankan di dalam premis tersebut dan mempunyai majlis khas bertemakan ‘Seksi Thai Kick Boxing' seperti mana yang disambut di negara Thailand.

“Kesemua warga asing yang ditahan disyaki bekerja  sebagai penari, penyanyi, pelayan pelanggan (GRO) dan juga pekerja premis itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Katanya pusat hiburan  itu pernah diserbu JIM pada tahun lalu namun premis itu masih lagi menjalankan aktiviti yang sama bagi mengaut keuntungan yang lumayan.

“Hasil soal siasat mendapati wanita - wanita Thailand yang bekerja sebagai GRO memasuki Malaysia dengan hanya menggunakan Pas Lawatan Sosial bagi tempoh 30 hari dan mereka mampu mendapatkan ‘tips' sehingga RM400 hingga RM500 dalam sehari,” katanya.

Mustafar berkata pengusaha pusat hiburan itu juga telah membuat beberapa modifikasi ke atas premis terbabit seperti pintu magnetik rahsia, laluan rahsia dan juga pintu-pintu keluar yang hanya boleh akses dari dalam premis bagi mengelakkan dan melambatkan pergerakan pihak penguatkuasa semasa serbuan dilakukan.

“Turut ditahan adalah dua orang lelaki warganegara Malaysia yang disyaki bertugas untuk menyelia aktiviti tidak bermoral kesemua warganegara asing di lokasi kejadian tersebut.

Sebanyak empat notis untuk hadir memberi keterangan telah dikeluarkan kepada pekerja, juruwang, pengawal peribadi dan pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan.

Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.--Bernama

GRO, Thailand, Imigresen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dira bangkit jawab Wardina

Artikel Lain