KUALA LUMPUR: Siapa sangka ketika Azwan Ali digambarkan berbalah dengan abangnya, Azmin hingga membawa ke gelanggang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun memori zaman kanak-kanak sesuatu yang sukar dilupakan. Malahan, Azwan yang lebih dikenali sebagai Diva AA mengakui dia sebenarnya tidak mempunyai masalah dengan abangnya. “Di luar kami boleh cium mulut. “Mujur Azmin tidak hadir ke penamaan calon hari ini. Jika tidak, saya akan buat adegan cium mulut adik-beradik," katanya. Azwan juga sempat berkongsi kenangan ketika dia dan Menteri Besar Selangor itu sama-sama diberi tugas menangkap kambing. “Saya dan Azmin pernah sama-sama bela kambing. “Tugas kami perlu masukkan kambing ke kandang setiap hari sebelum pukul 7 malam. “Arwah Pak Ali (bapa) akan marah jika kambing lambat masuk ke kandang. “Kebiasaannya dia (Azmin) kejar, saya tangkap (kambing). Saya kejar dia tangkap, selorohnya," ceritanya ketika ditemui mStar Online. Azwan diumumkan calon tiket Bebas menggunakan lambang gajah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa menentang Azmin. Azwan hadir untuk menyerahkan borang penamaan calon di Dewan Dato Ahmad Razali, Ampang pagi Sabtu, bagaimanapun abangnya memilih untuk tidak hadir. Turut disahkan bertanding bagi merebut kerusi sama ialah calon muka baharu Barisan Nasional, Salwa Yunus; calon PAS, Sharifah Hazlizah Syed Ariffin dan calon Parti Rakyat Malaysia, Ahmad Kamaruddin. Kata selebriti kontroversi itu, beliau kini mengubah pendirian berhubung kenyataannya sebelum ini yang kerap memburukkan abangnya. Menurut Azwan, dia tidak mahu memanjangkan perbalahan antara mereka terutama sepanjang tempoh berkempen PRU14 ini. “Saya sudah berjanji pada diri takkan mengutuk Azmin Ali sepanjang berkempen nanti. “Borang saya sudahpun diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jadi saya tidak mahu bercakap perkara buruk mengenai Azmin. “Allah tahu dosa dia... Takkan saya pula mahu menghukum”, ujarnya. Azwan juga meminta netizen untuk menghentikan sikap batu api yang sering melaga-lagakan dia dan abangnya itu. “Hentikanlah sikap batu api. “Netizen tidak perlu menyalak untuk melagakan saya dengan dia”, katanya. Media sebelum ini melaporkan Azwan mahu bertanding pilihan raya menentang abang kandungnya sendiri semata-mata mahu menjatuhkan Azmin.