suria

“Saya akan ambil tindakan terhadap Rafizi” - Khairy

Khairy Jamaluddin.

SEREMBAN: "Saya akan mengambil tindakan (undang-undang) terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli atas tuduhan beliau bahawa saya bersekongkol dan bertanggungjawab atas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang calon PKR, Dr S. Streram masuk ke pusat penamaan calon semalam," kata Pengerusi Pemuda Barisan Nasionai (BN), Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, sebelum ini macam-macam Rafizi cakap tidak baik tentang dirinya dan beliau boleh 'lepaskan' namun pada kali ini tidak boleh diterimanya kerana ia membabitkan integriti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno dan calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Rembau pada PRU14 ini berkata, tindakan Rafizi yang menyebarkan tuduhan dan berita palsu itu dalam Facebook dan Twitternya itu adalah satu kesalahan mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Pada Sabtu, Pemuda Umno telah membuat laporan polis  terhadap Rafizi bagi disiasat dan diambil tindakan kerana memfitnah, kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan kepada pemberita pada Hari Sukan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua di Rantau dekat sini, Ahad.

“Perkara ini serius. Saya sebagai calon pilihan raya, jangan main-main. Ini adalah berkenaan dengan kewibawaan pilihan raya di Rembau dan saya akan bawa dia ke mahkamah. Saya mahu Rafizi dibawa ke muka pengadilan sebab dia sudah ada banyak kes fitnah dan yang terbaru berkenaan dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau … biar mahkamah putuskan," katanya.

Khairy berkata, peguam mewakilinya akan kemukakan surat tuntutan kepada Rafizi dalam masa terdekat untuk naib presiden PKR itu menarik balik perkataan fitnah itu.

"Kalau Rafizi tidak tarik balik perkataan fitnah terhadap saya maka saya akan kemukakan saman fitnah terhadap beliau,” katanya dan menurutnya perkara itu sepatutnya dijawab oleh SPR dan bukannya oleh calon BN.

Katanya, Rafizi pada Sabtu turut membangkitkan semangat perkauman dalam kalangan pengundi India di negeri ini dan Parlimen Rembau berhubung penolakan calon PKR itu dengan  telah menghasut pengundi India untuk kononnya 'membalas dendam' terhadap BN.

"Ini tindakan yang sangat-sangat tidak bertanggungjawab… main dengan sentimen perkauman. PKR ini, kononnya parti berbilang kaum tetapi semalam Rafizi telah buktikan bahawa beliau adalah seorang anggota politik yang tergamak untuk main dengan sentimen perkauman.

"Jadi, saya harap masyarakat India tidak 'termakan' dengan permainan perkauman daripada PKR (pembangkang) dan akan terus memberi sokongan kepada saya dan calon BN lain di negeri ini dan Parlimen Rembau atas rekod khidmat saya memajukan semua masyarakat di sini,” katanya.

Pada hari penamaan calon di Dewan Seri Rembau pada Sabtu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan diumumkan menang tanpa bertanding di DUN Rantau selepas Streram tidak  dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa pas calon seperti disyaratkan SPR untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon. - Bernama

Khairy Jamaluddin, Rafizi Ramli

Artikel Berikut

Artikel Lain