suria

Muhyiddin lah, bukan Mahiaddin

Muhyiddin Yassin. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

GAMBIR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memastikan namanya dieja dengan tepat.

Permintaan tersebut dibuat oleh presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu selepas mendapati ejaan namanya di laman web SPR adalah dari MyKad - 'Mahiaddin Bin Md Yassin' dan bukannya 'Tan Sri Muhyiddin Yassin', yang telah dipilihnya untuk digunakan pada kertas undi.

"Nama yang saya pilih untuk digunakan adalah apa yang saya gunakan dalam semua pilihan raya sebelum ini.

"Saya hairan mengapa SPR memilih untuk menggunakan nama saya yang lain," katanya kepada pemberita semasa membuat tinjauan di Bukit Gambir pada Ahad.

Beliau berkata, ia adalah kali pertama SPR tersilap namanya, walaupun ia jelas dinyatakan dalam dokumen pencalonannya.

Muhyiddin berkata, tindakan SPR itu akan menyebabkan nama 'Mahiaddin' dicetak pada kertas undi.

"Ini akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengundi," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau telah mengarahkan wakilnya supaya memaklumkan perkara tersebut kepada SPR supaya membuat perubahan yang diperlukan.

"Mereka (SPR) mesti mencetak nama yang telah saya nyatakan untuk kertas undi.

"Jika tidak, saya akan membuat aduan rasmi berhubung perkara itu," katanya.

Nama 'Mahiaddin' muncul untuk Parlimen Pagoh dan kerusi DUN Gambir yang ditandingi Muhyiddin.

Muhyiddin yang merupakan penyandang kerusi Pagoh, akan menghadapi pertarungan tiga penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Mohamed dan Ahmad Nawfal Mohamed dari PAS.

Muhyiddin dan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed mencabar Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MIC Johor, Datuk M Asojan di Gambir.

Muhyiddin Yassin, Mahiadin

Artikel Berikut

Artikel Lain