suria

Anggota TLDM dan anak maut jatuh gaung

Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat. - Facebook

GERIK: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia dan anaknya maut manakala seorang lagi anaknya cedera parah apabila kenderaan dipandu lelaki itu dipercayai hilang kawalan dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 200 meter di KM27 Jalan Gerik-Kupang malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Che Isa berkata dalam kejadian jam 7.30 malam itu, Md Zahar Md Ali, 38 dan anaknya Muhammad Faris, 7, maut di tempat kejadian manakala Muhammad Firdaus, 9, cedera parah di kepala.

Kejadian berlaku ketika tiga sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Baling, Kedah bagi menziarahi ibu bapa Md Zahar yang tidak sihat, katanya dalam kenyataan, di sini pada Ahad.

Beliau berkata kemalangan itu disedari oleh seorang lelaki yang menemui anak mangsa di tepi jalan berkenaan dalam keadaan berlumuran darah.

“Anak mangsa memberitahu bapa dan adiknya terjatuh ke dalam gaung. Mayat kedua-dua mangsa berjaya dibawa naik dari gaung berkenaan masing-masing pada jam 10.25 dan jam 11.40 malam,” katanya.

Menurutnya mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh manakala kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat pada jam 10 pagi tadi.

Kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan. - Bernama

jatuh gaung

Artikel Lain