PUCHONG: Bermodalkan rupa paras kacak dan ayat manis, tiga wanita menjadi mangsa penipuan seorang jurujual lebih RM3,000 apabila wang bayaran tempahan minyak wangi berjenama lesap begitu sahaja. Mangsa, Ling Ka Ling, 43 berkata, dia menjadi mangsa penipuan itu di sebuah pasaraya di Sitiawan apabila minyak wangi berjenama tersebut ditawarkan pada harga yang lebih rendah dari pasaran. "Saya beli minyak wangi berjenama itu pada separuh harga apabila terpengaruh dengan pujuk rayu jurujual tersebut. "Beberapa hari kemudian, timbul idea untuk menjalankan perniagaan minyak wangi itu kerana harganya sangat murah, saya tempah sebanyak 10 botol minyak wangi itu dari jurujual terbabit," katanya pada sidang media di Pejabat Parti Gerakan, Puchong. Menurutnya, selepas membuat bayaran pada awal Mac lalu, dia dijanjikan masa seminggu oleh jurujual tersebut untuk menerima tempahan itu. "Seminggu kemudian tempahan itu tak sampai, saya menghubungi jurujual terbabit dan dia janji tempahan itu akan sampai tak lama lagi. Gambar hiasan. "Selepas sebulan, saya sedar telah ditipu kerana tempahan yang dijanjikan tidak sampai apabila jurujual itu sudah tidak dapat dihubungi," katanya. Perkara yang sama turut dialami Tan Ying Shing, 18, yang turut kerugian kira-kira RM1,000 apabila ditipu jurujual yang sama. Ahli Jawatankuasa JPP Zon 10 Majlis Perbandaran Subang Jaya, Andy Lieng Hwa Ching berkata, penipuan menggunakan cara yang sama telah kerap berlaku. "Saya percaya lebih ramai lagi yang terpedaya dengan jurujual itu tapi tidak tampil untuk membuat laporan polis. "Saya harap orang ramai lebih berhati-hati pada masa akan datang supaya perkara ini tak akan berlaku lagi," katanya. Menurutnya, individu terbabit sepatutnya tidak mencari jalan mudah untuk mendapatkan wang yang banyak dengan menipu orang ramai. - Sinar Harian