suria

Alaa… gaduh ‘adik beradik’, tak ke mana

KUALA TERENGGANU: Perselisihan dalaman BN Terengganu yang ketara selepas pengumuman calon 22 April lalu kini dianggap selesai selepas calon digugurkan hadir memberi sokongan semasa proses penamaan calon, kelmarin.

Selain itu, khabar angin mengatakan wujudnya kumpulan yang akan membuat bantahan terhadap individu bertanding pada hari penamaan calon itu juga meleset sama sekali.

Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya menganggap isu ketidakpuasan hati terhadap calon tidak timbul setelah kesemua mencapai kata sepakat.

“Kita lihat kesediaan Ketua Umno Bahagian Kemaman (Datuk Seri Ahmad Said) membantu calon Cukai (Datuk Mohamed Awang Tera), ini menunjukkan konflik antara mereka telah selesai dan tiada isu perlu dibangkitkan lagi.

“Saya tahu semua pemimpin kita berjiwa besar, cuma ada di peringkat permulaan itu rasa tak puas hati kerana mungkin merasakan mereka lebih layak, namun saya lihat kesemua mereka boleh menerima (keputusan) termasuk bekas-bekas calon kita dilihat turut hadir beri sokongan semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Program Taklimat dan Sesi Dialog Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan serta pelaksanaan program Certified Security Guards (CSG) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif berkata, perkembangan positif ditunjukkan itu adalah gambaran awal kejayaan besar bakal dimenangi BN pada PRU ini.

“Saya tak nampak apa-apa isu dalam hal calon, jadi, saya berkeyakinan penuh kerajaan BN akan peroleh kejayaan besar PRU kali ini.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada penyokong yang dapat mengawal emosi serta pasukan keselamatan kerana menjalankan tugas dengan baik dan dapat memastikan keadaan terkawal tanpa sebarang provokasi,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu ‘cah keting’ dalam BN, Ahmad Razif berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya memastikan perkara sedemikian tidak berlaku. - Sinar Online

Ahmad Razif

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain