KOTA BARU: Anak kedua Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ibarat menjadi selebriti segera kerana bertanding menentang parti yang menjadikan arwah bapanya sebagai ikon. Nik Omar, 53, calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang pernah disandang arwah bapanya. Walaupun ceramah pertama Nik Omar di Tunjong pada malam Ahad amat singkat, penyokong yang hadir terpaksa menunggu giliran untuk bergambar dengannya. Berucap selama lima minit, gaya percakapan Nik Omar mengingatkan penyokong yang hadir terhadap arwah bapanya. Adiknya, Nik Abduh, 48, merupakan calon PAS di kerusi Parlimen Bachok. Nik Omar berkata walaupun dia menyertai parti lawan, dia masih menyayangi adiknya itu. "Saya mendoakan kejayaannya," kata Nik Omar dalam ucapannya. Nik Omar berkata walaupun dia tidak terlibat dalam politik sebelum ini, dia sentiasa melihat perkembangan semasa dan menghormati semua parti. "Sekarang terdapat tiga parti bersaing merebut kerusi itu. Parti yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad merasakan mereka perlu membuat perubahan. "Saya bertanya kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR) bagaimana dia boleh memaafkan Dr Mahathir atas apa yang dilakukannya. "Dia beritahu saya ia dilakukan demi negara," katanya. Ditanya sama ada dia mendapat restu ibunya, Nik Omar berkata dia perlu fokus untuk kempennya. "Saya mahu meneruskan legasi arwah bapa," katanya. Mengenai keputusan PAS memecatnya, Nik Omar berkata dia menerima keputusan itu. "Kami terima. Tiada masalah," katanya.