PETALING JAYA: Kejayaan demi kejayaan dicipta bintang Liverpool, Mohamed Salah sejak akhir-akhir ini berjaya menarik perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. Jelas Dr Zulkifli, beliau semakin tertarik untuk mendekati pemain kebangsaan Mesir itu kerana lirik lagu I"ll be Muslim Too yang dinyanyikan penyokong Liverpool. "Jika ada kelapangan, adakalanya saya menyelak helaian belakang akhbar untuk mengikuti perkembangan sukan bola sepak. Sukan yang menyatukan pelbagai bangsa, agama dan negara atas satu semangat kesukanan. "Antara personaliti yang menarik minat saya kini adalah bintang Liverpool, Mohamed Salah. Pada mulanya, saya menganggap beliau hanya sebagaimana pemain Muslim lain dalam Liga Perdana Inggeris seperti Paul Labile Pogba (Manchester United), Ismail Bennacer (Arsenal), Mesut Özil (Arsenal), Granit Xhaka (Arsenal) dan lain-lain. "Namun, lirik lagu I"ll be Muslim Too yang dinyanyi penyokong Liverpool untuk Mohamed Salah menyebabkan saya semakin tertarik untuk mendekati beliau," tulisnya. Susulan itu, Dr Zulkifli terpanggil untuk berkongsi pendapatnya dengan netizen mengenai rahsia kejayaan Salah. Katanya, kejayaan Salah pada hari ini bukan sahaja kerana kelincahan semasa berada di atas padang tetapi sikap pemain itu yang sentiasa mengutamakan pegangan agama. Salah akan sujud syukur setiap kali selepas menjaringkan gol. "Kejayaan demi kejayaan yang dirangkulnya jika dilihat daripada perspektif yang lebih luas, bukan sahaja kerana kelincahan beliau tetapi juga adalah kerana sikap beliau yang begitu menjaga solat dan hubungannya dengan Allah SWT. "Melihat kepada latar belakang hidupnya, benarlah disiplin solat telah berjaya mengubah hidupnya menjadi apa yang anda lihat hari ini," katanya. Malah Dr Zulkifli berkata, Salah yang meledak 43 gol musim ini akan pergi lebih jauh dan cemerlang jika terus memelihara hak Allah SWT sebagai Tuhan dan melaksanakan tuntutannya sebagai hamba-Nya. "Yakinlah, kejayaan yang hakiki jua bersama dengan hamba-hamba-Nya yang memelihara solat. Sebenarnya itulah yang ingin disampaikan Salah kepada semua penyokong Liverpool beragama Islam. Salah menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidupnya. "Kita akan berjaya dengan mengutamakan-Nya dalam semua perkara. Solatlah walau di mana jua kita berada," tulis Dr Zulkifli. Salah mencipta sejarah apabila menjadi pemain Mesir pertama dinamakan Pemain Terbaik Tahunan, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional England (PFA) baru-baru ini. Pemain berusia 25 tahun itu menerima anugerah berkenaan kerana persembahannya dengan menjaringkan 41 gol dalam semua kejohanan sejak menyertai kelab itu dari AS Roma tahun lalu, membantu Liverpool mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan memastikan empat tempat teratas Liga Perdana. Pemain berusia 25 tahun itu dipilih daripada enam pemain disenarai pendek termasuk pemain Manchester City, Kevin De Bruyne, Leroy Sane and David Silva dan diundi oleh ahli PFA daripada 92 pasukan Liga Perdana dan Liga Bolasepak.