KUALA LUMPUR: Platform pulangan tunai dalam talian, Shopback Malaysia menyaksikan peningkatan pembelian perjalanan sebanyak 26 peratus dalam kalangan pengguna tempatan sejak pengumuman mengenai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Data menunjukkan rakan kongsi lain menawarkan diskaun bagi tiket penerbangan dan tiket bas, serta kad petrol tambah nilai, antara yang mendapat banyak permintaan di bawah kategori perjalanan di laman web dan aplikasinya. Dalam kenyataan pada Isnin, Pengurus Besar Negara Alvin Gill berkata tempoh puncak yang akan datang bagi tempahan perjalanan selepas pameran Matta pada Mac adalah dua minggu sebelum Aidilfitri, sebaliknya trend pembelian dicatatkan susulan PRU14 akan diadakan sebelum bulan Ramadan. “Purata jualan harian peniaga perjalanan kami menyaksikan peningkatan sebanyak 26 peratus sejak pengumuman mengenai hari mengundi. Permintaan kekal kukuh sejak beberapa minggu lepas, dan kami percaya sebahagiannya susulan daripada AirAsia memperkenalkan tambang tetap sempena PRU14. “Pengguna kami boleh membeli tiket AirAsia melalui Traveloka dan Expedia dan pada masa sama, mendapat penjimatan pulangan tunai daripada setiap transaksi yang dilakukan. Tiket bas dan kad hadiah Petronas daripada Lazada dan 11street juga antara produk paling laris pada April,” katanya. Bagi memenuhi permintaan mereka yang belum menempah pengangkutan mereka bagi PRU14, ShopBack menganjurkan Pameran Perjalanan Pertengahan Tahun mulai isnin hingga 6 Mei, 2018. “Terdapat tawaran sehingga 7.5 peratus pulangan tunai daripada rakan perjalanan kami, termasuk Malaysia Airlines, Traveloka, Expedia, BusOnlineTicket, Booking.com dan Hotels.com,” katanya. Shopback juga berkata datanya menunjukkan rakyat Malaysia paling kerap mengunjungi destinasi domestik, terutamanya Kuala Lumpur, Melaka, dan Johor Bahru, manakala Jepun merupakan destinasi luar paling popular, diikuti Taiwan, Indonesia dan Thailand. “Rakyat Malaysia gemar melancong, dan mereka tidak berhenti melakukan perjalanan disebabkan cabaran ekonomi. Kebanyakan mereka memilih untuk melancong dalam Malaysia dan berbelanja untuk penginapan yang lebih baik,” kata Alvin. Setakat ini, ShopBack mempunyai lebih satu juta pengguna di Malaysia dan ia telah memberi ganjaran kepada mereka dengan pulangan tunai bernilai lebih RM25 juta. - Bernama