suria

Liverpool punya hal, bos bikin staf tak senang duduk!

PETALING JAYA: Syarikat ini mungkin menjadi tempat kerja pilihan ramai!

Cuti bergaji selama dua hari diberikan kepada pekerja syarikat Danieya Energy Sdn Bhd bagi meraikan kejayaan Liverpool yang mara ke pusingan akhir Liga Juara-Juara UEFA menentang Real Madrid pada 26 Mei ini.

Surat berkenaan mula tular di Twitter sejak Rabu, setelah dimuat naik oleh salah seorang staf syarikat berkenaan.

"Untung sangat ada bos fanatik bola sampai macam ni," tulis @tengkuammarfaez menerusi tweet yang diulang kicau (retweet) lebih 5,000 kali.

Pengarah syarikat, Sarah Said, 28, ketika dihubungi mStar Online mengesahkan kesahihan kandungan surat berkenaan.

Katanya, cuti bergaji pada Jumaat (25 Mei dan Isnin (28 Mei) itu merupakan idea dirinya bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Mariana Mat Saaid dan seorang lagi pengarah, Daniel Themudu.

"Ini merupakan satu inisatif syarikat untuk memberi penghargaan kepada kakitangan walaupun ada dalam kalangan mereka yang tidak meminati Liverpool. Dengan adanya kejutan-kejutan seperti ini, kami harap mereka makin komited dan bersemangat untuk bekerja.

"Selain itu, saya sendiri merupakan peminat Liverpool sejak tahun 2005. Mariana serta dua anaknya yang berusia lima dan lapan tahun juga merupakan peminat Liverpool.

"Dengan adanya cuti ini, kami semua dapatlah memberi sokongan kepada Liverpool walaupun hanya menonton dari kaca televisyen sahaja," ujar Sarah.

Tidak cukup dengan cuti bergaji selama dua hari, Sarah berkata satu lagi kejutan bakal menanti kakitangannya jika Liverpool menjadi juara musim ini.

"Ini baru Liverpool masuk ke pusingan akhir, kalau mereka menang, mungkin akan ada kejutan lain pula. Malah, syarikat kami juga akan memberi cuti kepada semua pekerja pada hari pertama Ramadan tidak lama lagi," katanya.

Dua anak Mariana yang kini berusia lima dan lapan tahun juga meminati pasukan Liverpool.

Danieya Energy merupakan syarikat konsultan yang berpengkalan di Bukit Jelutong. Bagaimanapun cuti berkenaan turut melibatkan tiga lagi cawangannya di Kepong, Johor dan Kemaman.

Dalam pada itu, Sarah juga berharap inisiatif syarikatnya yang sering menghargai kakitangan dapat menjadi contoh kepada syarikat lain.

"Kami mahu mewujudkan persekitaran kerja yang menyeronokkan dan berharap agar syarikat lain juga akan terinspirasi dengan pendekatan kami dalam menghargai pekerja.

Semenjak surat berkenaan tular di media sosial, syarikat berkenaan dihubungi ramai individu yang bertanyakan mengenai kekosongan jawatan.

Di Twitter misalnya, rata-rata netizen memuji tindakan majikan syarikat ini dan turut meluahkan hasrat mereka untuk memohon kerja di situ.

"Ada kerja kosong? Peminat Liverpool patut diberi keutamaan apply ofis hang ni bro," tulis @PittKF.

"Akhirnya saya jumpa syarikat impian saya. Syarikat apa ni?" soal @UzairJasmin.

"Malaysia menang pun cuti sehari je. Ni syarikat kot, bagi dua hari weh," tulis @NasrulSyafiq10.

Tambah Sarah lagi, penghargaan seperti ini bukan sahaja memberi kegembiraan kepada staf malah akan menyuntik motivasi agar mereka sentiasa proaktif dalam sama-sama bekerja untuk membangunkan syarikat.

Artikel Lain