suria

Terdesak nak kulit cerah, pengguna sanggup jadi 'ular’

Kesan pengelupasan yang dialami oleh pengguna selepas dipercayai beberapa hari menyapu losyen tersebut. - Facebook

PETALING JAYA: Kegilaan rakyat Malaysia mahu mencerahkan kulit dilihat semakin membimbangkan apabila pelbagai cara diguna pakai semata-mata bagi memenuhi hasrat hati untuk tampil menawan.

Tidak cukup mengambil suplemen pemutihan kulit dan suntikan vitamin C secara berkala, kini muncul pula losyen yang membolehkan si pemakai 'bersalin kulit' seperti ular.

Dijual pada harga serendah RM50 sebotol, losyen pengelupasan 'oren' yang dipercayai produk dari Filipina itu mula tular di laman sosial dan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pengguna.

Chin Chwen

Perunding dermatologi di Pusat Kesihatan Subang Jaya (SJMC), Dr Ch'ng Chin Chwen berkata, perkara yang membimbangkan tentang losyen tersebut adalah ia tidak mempunyai kelulusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tidak diuji secara klinikal dan tiada pelabelan yang sempurna.

"Pengelupasan kimia dikelaskan kepada bahagian luaran dan dalaman serta perlu disesuaikan mengikut jenis kulit dan tahap kesihatan pengguna.

"Prosedur ini sebaik-baiknya dilakukan di bawah pengawasan doktor yang menggunakan kemudahan perubatan yang betul seperti di hospital atau klinik," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai trend pencerahan kulit terkini yang melanda negara ini.

Komen netizen yang berhubung penggunaan losyen pengelupasan 'oren'.

Tambah Chin Chwen, pengguna dengan jenis dan warna kulit berbeza tetapi menggunakan produk sama boleh menyebabkan mereka berdepan risiko pigmentasi, kulit melecur dan parut.

"Saya tidak nampak kod kelulusan KKM pada label produk ini.

"Tiada senarai bahan yang digunakan, tarikh ia dikilangkan, Amalan Pengilangan Baik (APB), mahupun nombor siri," soalnya mengenai jaminan keselamatan produk tersebut.

Chin Chwen turut menjelaskan, pengamal perubatan perlu mengetahui tahap kepekatan yang digunakan dalam formula losyen tersebut kerana ia kelihatan seperti dihasilkan di rumah.

Losyen pengelupasan ini dijual pada harga serendah RM50 di Instagram.

Menurut ahli Royal College of Physician United Kingdom itu, pengguna seharusnya bimbang dengan apa yang diambil oleh mereka terutama yang melibatkan kesihatan.

"Tiada nama syarikat atau tempat ia dikilangkan. Kalau jadi apa-apa, siapa yang pengguna harus hubungi untuk buat laporan dan siapa yang harus disaman?

"Paling menakutkan, penjual produk ini mungkin tidak mendaftarkan perniagaannya dan hanya mengambil kesempatan di atas keadaan ekonomi sekarang," ujarnya.

Artikel Lain