suria

Pengarah Avengers muncul buat kejutan depan pelajar Malaysia

Joe Russo (hadapan, tiga kiri) bersama para pelajar Kolej Mara Seremban yang menghasilkan video parodi filem Avengers: Infinity War. Foto Twitter awesomerawks/khafizkhairil

PETALING JAYA: Ingat lagi sekumpulan pelajar Malaysia yang membuat video parodi bagi trailer filem adiwira Avengers: Infinity War pada Mac lalu yang kemudian menarik perhatian pengarah filem berkenaan?

Selepas tular video trailer ‘bajet rendah’, pihak Marvel dengan kerjasama Marina Bay Sands membawa sekumpulan pelajar dari Kolej Mara Seremban itu bertemu dengan pengarah filem tersebut, Joe Russo di Singapura akhir bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah 'Tawar Job' Gara-Gara Parodi Kelakar Avengers Pelajar Kolej Mara

Sebuah video mengenai pertemuan mereka dimuat naik di halaman Facebook Marvel Malaysia pada Jumaat.

Aiman Sany Mohd Ikhsan, 20, bagaimanapun berkata, pada awalnya mereka tidak diberitahu oleh pihak penganjur mengenai pertemuan itu tetapi dihimpunkan bersama untuk sesi temuramah oleh pihak penganjur mengenai video parodi berkenaan.

Respons Russo Brothers  di Twitter terhadap video parodi yang dibuat sekumpulan pelajar Malaysia.

Pelajar yang mengikuti pengajian A Level itu memberitahu, kejutan yang tidak disangka berlaku sewaktu salah seorang rakannya menjawab soalan mengenai apakah perasaan pengarah filem itu apabila menonton trailer yang dibuat mereka.

“Bila Joe Russo menyapa belakang seorang rakan saya, kami semua terkejut. Perasaan tu ada macam-macam, terkejut bercampur gembira. 

“Kalau dulu kami tertanya-tanya adakah beliau yang sebenarnya memberi respons mengenai video kami atau pihak lain di syarikat produksi mereka.

“Tapi selepas kami lihat beliau sendiri di depan mata dan memberikan respons secara langsung mengenai video berkenaan, kami fikir segala-galanya boleh berlaku. Terima kasih kepada semua pihak yang merealisasikan kejutan besar ini,” katanya dengan nada teruja kepada mStar Online.

Menerusi video ‘kejutan’ itu, rakan Aiman memaklumkan bahawa kos pembikinan mereka untuk menghasilkan trailer tersebut adalah RM3.

Joe Russo yang memakai baju kemeja T hitam dan jaket biru ‘menunggu’ di belakang tabir semasa sesi temuramah para pelajar itu sebelum muncul sambil memberitahu bahawa beliau menyukai video parodi tersebut.

Menjawab soalan mengenai reaksi pertamanya apabila menonton video parodi itu, Joe Russo menyukainya kerana lucu selain persembahan dan rakamannya sangat baik.

“Saya fikir ia sangat inventif. Pinggan-pinggan (yang digunakan sebagai props dalam video) juga sangat kelakar,” katan Joe Russo duduk di kerusi menghadap 13 anak muda itu.

Pinggan dijadikan 'props' antara yang menarik perhatian Joe Russo.

Malahan Joe Russo turut memuji adegan menggunakan bijirin coklat untuk menggambarkan pasukan tentera menuruni dari atas bukit untuk mara berperang.

Pengarah itu juga bertanya sama ada anak-anak muda itu bercadang untuk membuat video parodi trailer bagi filem keempat Avengers yang bakal ditayangkan akan datang. 

“Kami akan lihat. Kami akan fikirkannya nanti,” jawab mereka sebelum Joe Russo mengajak mereka untuk mengambil gambar swafoto bersama.

Bijirin coklat digunakan sebagai 'props' dalam video parodi.

Video parodi yang dimuat naik menerusi akaun Twitter Aiman pada Mac lalu telah menarik perhatian ramai termasuk dua beradik yang mengarahkan filem berkenaan, Russo Brothers  iaitu Anthony Russo dan Joe Russo.

Semuanya bermula apabila Aiman menulis di Twitter: “Siapa yang buat lebih baik, Marvel Studios? ia kemudian dibalas oleh Russo Brothers: “Aiman, anda semua genius. Anda ‘available’ untuk mengarah filem Avengers 5?”

Sehingga kini, video parodi tersebut telah ditonton hampir 4 juta kali, dan dikongsi 115,000 kali.

Avengers, Joe Russo

Artikel Lain