suria

Rafidah, Daim, Rais... fikir semula

(Dari kiri) Rafidah, Daim dan Rais.

KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tan Sri Abu Zahar Ujang berharap tiga sahabat baiknya, Tan Sri Rafidah Aziz, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Dr Rais Yatim memikirkan semula tindakan mereka bersekongkol dengan parti pembangkang, khususnya DAP yang dikatakan sering meracuni pemikiran rakyat.

Melahirkan rasa sebak, Abu Zahar berkata, pada pengetahuannya sebagai sahabat lama dalam memperjuangkan UMNO, ketiga-tiga bekas menteri itu tidak sukakan DAP.

“Saya menghormati mereka setiap masa. Tetapi dari segi perjuangan itu saya hanya ingin suarakan pendapat saya mengikut pengalaman yang sama-sama kita telah lalui. Supaya janganlah ‘apa' sangat, akhirnya esok kita rugi.

“Saya tidak ada kompromi langsung dengan DAP kerana mereka ini tahu sahaja lah. Kebelakangan ini beberapa pemimpin parti itu terang-terang menghina orang Melayu dan meracuni pemikiran rakyat,” katanya dalam sidang media di sini, Selasa.

Daim dan Rafidah digugurkan keanggotaan parti berkuat kuasa Jumaat susulan tindakan mereka menyokong pembangkang selain menghentam parti, manakala Rais yang juga Penasihat Sosiobudaya Kerajaan masih disiasat berhubung isu sama sebelum tindakan seterusnya diambil.

Abu Zahar yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Negara berkata, apa yang disuarakan beliau adalah pandangan peribadinya sebagai rakan lama kepada Rafidah, Daim dan Rais.

“ Saya tak nak berbalah. Saya tak nak berdebat. Hanya suarakan perasaan ikhlas saya kerana saya sayangkan mereka semua," kata beliau.

Beliau turut menasihatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang isu atau dakwaan yang diwujudkan bagi memecah-belahkan rakyat, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada Rabu.

“Pandang betul-betul. Jangan  emosional. Yang penting  masa depan dan keamanan negara. Ekonomi  maju hari ini. Pelabur cukup banyak masuk,” katanya. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain