suria

Ada sebab anak Datuk K ‘hentam’ SPR

Gambar dari Instagram Aazief Khalid.

PETALING JAYA: Kontroversi demi kontroversi terus menghimpit Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dikatakan sebagai ibu segala pilihan raya.

Terkini, Aazief Khalid, anak tiri kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin telah meluahkan kekecewaannya di laman Twitter pada pagi Rabu biarpun berada jauh di bumi United Kingdom (UK).

"Sesiapa yang menang pun, Barisan Nasional (BN) ke Pakatan Harapan (PH) ke, ada satu perkara yang kebanyakan daripada kita boleh setuju.

"SPR s***. Sekian," tweet Aazief pada pagi Rabu.

Penggunaan kata-kata kesat yang digunakan Aazief itu telah menyinggung hati seorang netizen yang menasihatkan supaya pemuda itu tidak mempertikaikan kerja orang lain.

Pengguna Twitter, Halina Alin berkata: "Tak elok fitnah, tak mengapa Aazief Khalid boleh jadi sukarelawan untuk SPR pada PRU akan datang.

"Kasihan kepada yang berhempas pulas dua hari berturut-turut bekerja. Saya harap saya sampaikan hujah saya sebaiknya, s*** adalah perkataan yang kasar," nasihatnya.

Bagaimanapun, anak keempat Datuk Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) itu tidak melatah dan menerima nasihat yang diberikan secara terbuka.

Kata Aazief, secara jelasnya dia hanya menzahirkan rasa marah kepada kepimpinan teratas dalam organisasi tersebut.

"Saya rasa 'tertekan' dengan pilihan raya umum (PRU) terutamanya berkenaan dengan undi pos bagi mereka yang berada di luar negara.

"Semua orang dalam kumpulan saya telah mendaftar, tapi mereka menerima kertas undi sehari sebelum PRU.

"Tapi saya terlalu gembira setelah mengetahui keputusan. Demokrasi telah menang hari ini biarpun ketidaktelusan yang dilakukan oleh SPR," kata Aazief ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Aazief merupakan anak Datuk K hasil perkahwinan dengan Tengku Zawyah Tengku Izham.

Pemuda yang berusia 20 tahun itu kini sedang melanjutkan pengajian di Oxford Brookes University.

Aazief Khalid, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain