KUALA LUMPUR: Lima pemilih berdaftar yang mengundi di Parlimen Batu, di sini meluahkan kesangsian terhadap kertas undi yang mereka terima. Omar Anuar, 36, mewakili empat lagi pemilih lain mendakwa, dia menerima kertas undi yang bertanda 'dot' di dalam kotak nama calon BN. "Apabila saya lihat kertas undi saya ada tanda 'dot', saya telah buat aduan kepada ketua tempat mengundi. "Saya minta agar diberikan kertas undi baharu. Setelah ketua tempat mengundi berkenaan buat semakan pada buku kertas undi, didapati kesemua helaian kertas undi ada tanda dot yang sama. "Hal ini sangat mencurigakan kerana tanda yang serupa berada pada tempat yang sama di kesemua kertas undi," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di luar kawasan tempat pengundian di Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis Fasa 2, di sini. Omar memberitahu, dia bersama empat lagi pemilih yang meragui perkara berkenaan telah membuat laporan polis di Balai Polis Koperasi Fasa 2, di sini. Bagaimanapun katanya, proses pengundian tetap berjalan. "Saya teruskan juga mengundi pada kertas undi berkenaan walaupun saya sangsi. "Saya buat laporan polis kerana saya was-was. Saya amat mengharapkan ketelusan pada PRU kali ini," katanya. Omar tidak menolak kemungkinan jumlah pengundi yang akan membuat laporan polis berhubung hal sama akan bertambah. - Sinar Online