suria

Najib kecam panggilan spam, arah tindakan segera diambil

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengecam sekeras-kerasnya taktik "panggilan spam" yang diterima ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) daripada nombor antarabangsa pada Rabu.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN itu turut mengarahkan tindakan segera diambil oleh pihak berkaitan.“Saya mengecam sekeras-kerasnya taktik "panggilan spam" yang diterima ramai pemimpin BN daripada nombor antarabangsa.

Telefon yang diserangi ‘spam' ini tidak dapat berfungsi seperti biasa. Selain itu, banyak laman web BN pun tak boleh diakses. Saya telah arahkan supaya tindakan segera diambil,” katanya menerusi Twitter rasminya.

Beberapa pemimpin BN yang terlibat turut memuat naik gambar panggilan daripada nombor yang tidak dikenali itu menerusi laman Twitter masing-masing.

Calon BN Parlimen Sepanggar, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menerusi Twitternya @mpkotabelud berkata: “BN leaders' handphones have been under technical attack since morning. Calls from overseas keep coming in every few seconds! To prevent us from communicating with our machinery. This is dirty trick! (Telefon  bimbit pemimpin-pemimpin BN mengalami serangan teknikal sejak pagi. Panggilan dari luar negara diterima terus menerus selang beberapa saat! Untuk menghalang kami daripada berkomunikasi dengan jentera kami, Ini muslihat kotor!). Calon BN Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi Twitternya berkata: 

“Just finished voting and realized all these missed calls from unknown numbers. Strange.

” (Baru selesai mengundi dan sedar mengenai semua panggilan yang tidak dijawab daripada nombor yang tidak diketahui. Pelik)

“Saya masih menerima panggilan-panggilan pelik dari luar negara terutamanya dari Amerika. Difahamkan ramai yang terima panggilan spam tidak dijawab macam ini pagi ini,” luah Datuk Seri Azalina Othman Said di Twitternya.

Calon kerusi Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh turut menerima panggilan daripada nombor-nombor yang tidak dikenali sepanjang pagi ini.

Rungutan mengenai panggilan spam itu turut dibuat oleh pemimpin pembangkang antaranya Naib Presiden PKR Tian Chua dan  Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melalui media sosial masing-masing.-Bernama

Spam, Najib Tun Razaak

Artikel Sebelum

Artikel Lain