suria

‘Syukur masih panjang umur’

Che Will Daud.

TUMPAT: Pengundi warga emas berumur 118 tahun, Che Will Daud bersyukur kerana masih dipanjangkan umur untuk menunaikan tanggungjawab mengundi buat kali ke-14 pada Pilihan Raya Umum ke-14 hari ini.

Che Will yang mengundi bagi kerusi Parlimen Tumpat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu di sini berkata beliau memberi lebih tumpuan kepada kesihatannya sejak beberapa minggu lepas bagi memastikan niatnya untuk mengundi pada hari ini berjalan lancar.

“Saya memang langsung tidak mengambil sebarang minuman berais dan memastikan mempunyai tidur dan rehat yang cukup. Alhamdulillah hari ini saya rasa sangat bersemangat dan lega selepas berjaya menyempurnakan hasrat untuk keluar mengundi tanpa sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Tarbiah Diniah di sini, hari ini.

Che Will hadir ke pusat pengundian itu dengan ditemani anaknya Hasnah, 72, pada kira-kira pukul 10 pagi dengan menggunakan kerusi roda.

“Saya harap sumbangan undi saya ini akan membantu memenangkan calon DUN Wakaf Bharu yang telah lama berkhidmat di kawasan ini dan menyeru semua warga negara agar tidak melepaskan peluang keluar mengundi demi memastikan kelangsungan kemakmuran yang dikecapi selama ini,” katanya.

Sementara itu menurut Hasnah, ayahnya bangun seawal pukul 5 pagi hari ini bagi mempersiapkan diri untuk keluar mengundi.

“Dari semalam lagi ayah nampak begitu bersemangat dengan meminta kami menggosok bajunya selain berkali-kali mengingatkan kami agar bangun lebih awal hari ini,” katanya.

Kata Hasnah, sebagai anak, beliau amat mengagumi kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan ayahnya setiap kali tibanya hari pengundian.

Beliau berkata semangat itu akan terus dijadikan contoh teladan yang akan diwarisi oleh seluruh generasi Che Will. - BERNAMA

Che Will Daud, PRU14

Artikel Lain