PUTRAJAYA: Pengundi keluar serentak dalam satu masa menjadi antara punca kesesakan sesetengah tempat mengundi sehingga ramai yang terpaksa beratur panjang untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata ramai pengundi memilih untuk mengundi pada awal pagi, namun proses pengundian dilaporkan berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 55 peratus setakat 1 tengah hari. Dalam sidang akhbar di Menara SPR di sini hari ini, beliau berkata kesesakan itu juga dipercayai berpunca daripada mesej tular sebelum ini yang menggesa pengundi keluar awal supaya tiada orang lain mengundi menggunakan nama mereka. “SPR juga telah memaklumkan sebelum ini supaya pengundi merancang dan keluar mengundi secara berperingkat supaya tidak berlaku kesesakan dan terpaksa beratur panjang,” katanya. Selain itu katanya ‘mood' pengundi pada PRU kali ini dilihat berbeza apabila kebanyakan mereka teruja untuk mengundi seolah-olah ada satu perayaan besar-besaran yang disambut. Ditanya mengapa SPR tidak menambah saluran mengundi untuk warga emas sehingga berlaku kejadian tidak diingini, Mohd Hashim berkata pihaknya menyediakan saluran berdasarkan situasi atau keadaan tempat mengundi. Katanya SPR menetapkan saluran mengundi mengikut peringkat umur, misalnya 50 tahun ke atas di saluran kedua dan 60 ke atas di saluran pertama. Bagaimanapun pihaknya tidak dapat menjangka tahap kesihatan dan keupayaan setiap pengundi, katanya mengulas insiden dua kes kematian masing-masing di Petaling Jaya, Selangor serta Dungun, Terengganu dan pengundi yang pitam ketika berbaris di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1). ”Siapa ada di Presint 16, Putrajaya, memang panjang beratur dari 8 hingga 10 pagi tadi. Bila ditanya (yang pitam), dia tak sarapan, itu pun (ada yang) nak salahkan SPR,” katanya yang mengundi di sekolah itu pagi tadi. Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dan meminta SPR negeri untuk mengambil langkah sewajarnya. Sementara itu, Mohd Hashim berkata SPR akan menyiasat aduan berlaku kelewatan penghantaran undi pos yang menyebabkan ada pengundi tidak menerima kertas undi atau lewat diterima. Beliau berkata SPR telah menerima beberapa aduan berkaitan kelewatan itu dan memandang serius isu tersebut. Isu itu tular di media sosial apabila terdapat warganegara Malaysia yang menetap di luar negara meluahkan kekecewaan kerana lewat atau tidak menerima kertas undi pos mereka. - BERNAMA