KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tiga khabar gembira kepada rakyat Malaysia sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hari ini. Perdana menteri berkata semua golongan muda negara yang berumur 26 tahun dan ke bawah, akan diberikan pengecualian cukai pendapatan bermula dari tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun berikutnya dengan serta merta. Beliau berkata ini sekali gus bermakna, bagi cukai pendapatan yang telahpun dibayar pada tahun sebelumnya, akan dikembalikan semula kepada golongan berkenaan. "Saya tahu orang muda memerlukan wang yang mencukupi, maklum sahaja nak beli kereta, nak sewa rumah, perbelanjaan sebagainya, nak bagi duit kepada ibu bapa. Sebagai kerajaan begitu prihatin, pertama kali dalam sejarah mereka yang berumur 26 ke bawah tidak perlu bayar cukai," katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, malam tadi. Berucap di hadapan rumah kayu yang dibina ayahandanya yang merupakan perdana menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein di Pekan, Pahang. Najib turut mengumumkan cuti peristiwa khas selama dua hari berturut-turut iaitu pada 14 dan 15 Mei ini iaitu pada Isnin dan Selasa depan, manakala bagi negeri yang bercuti pada Jumaat dan Sabtu, akan diberi cuti pada Ahad dan Isnin (13 dan 14 Mei). Najib berkata cuti itu sebagai tanda terima kasih bagi menghargai perit jerih jentera pilihan raya bukan sahaja BN tetapi pembangkang serta rakyat keseluruhannya. "Gunakanlah dua hari cuti ini bersama keluarga untuk rapatkan hubungan dalam keluarga, dan buatlah persiapan Ramadan yang sebaik-baiknya bersama keluarga tersayang," katanya disambut sorakan hadirin yang hadir. Berita gembira ketiga, Najib mengumumkan tidak ada sebarang bayaran tol akan dikenakan kepada para pengguna lebuh raya di seluruh negara selama lima hari bersempena Hari Raya Aidilfitri 2018 ini bermula dua hari sebelum perayaan itu sehingga hari raya ketiga. Katanya, ketiga-tiga pengumuman itu selain apa yang telah diumumkan menerusi manifesto BN sebelum ini, membuktikan bahawa Malaysia bukan sebuah negara bankrap atau gagal seperti yang dimomokkan pembangkang, sebaliknya merupakan sebuah negara berjaya. "Kita tidak perlu diselamatkan kerana Malaysia merupakan negara berjaya. Saya sebagai perdana menteri mahu rakyat Malaysia hidup dalam riang dan gembira I want all Malaysian to wake up to a happy Malaysia," katanya. Sebagai amanat terakhir sebelum berakhirnya kempen PRU14 pada 12 malam tadi, Najib menyeru rakyat Malaysia supaya yakin dan percaya dengan kebenaran perjuangan BN dan bersama-sama parti itu untuk memperhebatkan Malaysia. Beliau berkata PRU14 kali ini akan menentukan destini dan masa hadapan negara, justeru rakyat perlu memilih berdasarkan pertimbangan dengan sebaik-baiknya. Tegasnya walaupun menerima banyak serangan peribadi, hinaan dan cercaan, beliau menganggapnya sebagai ujian daripada Allah serta akan meneruskan perjuangan membela rakyat dan negara kerana sokongan yang ditunjukkan rakyat di ratusan kawasan dikunjunginya ketika 11 hari berkempen. "Maka saya Najib Razak bagi pihak calon BN dengan setulus hati dan tawaduk, saya pohon, saya merayu kepada para pengundi tanpa ragu-ragu lagi, dengan hati yang tekad dan nurani yang bulat pada PRU14, pilihlah kami BN, parti yang telah terbukti rekod dan prestasi, mengota janjinya, dacing bukan sebarang dacing, adil dan saksama jadi pegangan, undilan BN hingga menang bertanding, parti sebenar harapan masa depan," katanya. Seramai 14,449,200 orang daripada jumlah keseluruhan 14,940,624 pemilih berdaftar yang diwartakan akan mengundi mulai 8 pagi hingga 5 petang ini. Baki pemilih yang lain adalah pengundi tidak hadir luar negara, pengundi pos dan pengundi awal.- BERNAMA