suria

Agong putuskan PM ke-7

PETALING JAYA: Calon perdana menteri ke tujuh akan hanya diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, ia susulan tiada mana-mana parti politik yang bertanding mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Oleh kerana tiada sebuah parti yang dapat simple majoriti maka Yang di-Pertuan Agong akan buat keputusan siapa yang bakal dilantik oleh Tuanku sebagai perdana menteri.

"Mengikut perlembagaan, pelantikan ini berdasarkan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan ia berdasarkan prinsip siapa yang mendapat kepercayaan di kalangan Ahli Dewan Rakyat," katanya pada sidang media yang berlangsung sebentar tadi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Jelas Najib, BN akan menghormati apa juga keputusan Sultan Muhammad V berkaitan calon perdana menteri yang mendapat perkenan baginda.

Najib hadir pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pagi Khamis.

Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) dikira memperolah 121 kerusi jika merangkumi PKR yang memenangi 104 kerusi, selain DAP (9) dan Warisan (8).

Ia sekali gus mencapai jumlah majoriti mudah untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Sementara itu, BN memenangi 79 kerusi Parlimen pada PRU14.

Dalam pada itu, Najib turut meminta rakyat supaya bertenang dan memberi sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanan Sultan Muhammad V untuk membuat keputusan dengan sebaiknya.

"Tentu sekali akan berlaku perubahan dan saya komited untuk tentukan penyelesaian dan keputusan terbaik berlandaskan kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Mengenai kekalahan pada PRU14, Najib berkata, beliau menerima keputusan yang ditentukan rakyat.

"BN komited menghormati prinsip demokrasi berparlimen. Kita telah lakukan yang terbaik, pencapaian rekod kita semua membanggakan," katanya.

Najib Tun Razak, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan