suria

PH akan tentukan 'nasib' Akta Antiberita Tidak Benar 2018

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan meneliti Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diwartakan kerajaan Barisan Nasional, bulan lalu.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, penelitian semula perlu dilakukan bagi mengenal pasti matlamat sebenar akta tersebut digubal.

"Sudah tentu kami akan mengkaji undang-undang itu sama ada ia digunakan bagi menghentikan penyebaran berita tidak benar atau menyekat pemimpin pembangkang," katanya pada sidang media khas PH sebentar tadi.

Bagaimanapun beliau mengakui, gabungan parti itu melihat pelaksaanaan akta tersebut lebih kepada tindakan untuk mengawal parti pembangkang.

"Buat masa ini kita lihat akta itu sebagai undang-undang yang digunakan untuk menutup mulut pembangkang," katanya.

Akta berkenaan yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 April lalu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Menurut akta itu, 'berita tidak benar' termasuk apa-apa berita, maklumat, data dan laporan yang bahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Kesalahan yang termaktub di bawah Seksyen 4 Akta 803 ialah mengadakan, menawarkan, menerbitkan, dan sebagainya, berita tidak benar atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar.

Jika sabit kesalahan di bawah seksyen itu, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan