KOTA KINABALU: Sekumpulan rakyat Sabah yang mengecam keputusan Datuk Dr Jeffrey Kitingan untuk menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) Sabah berkumpul di Padang Merdeka di sini. Susulan deklarasi sokongan Jeffrey, BN Sabah mendakwa ia perlu mendapatkan majoriti mudah 31 kerusi dan penjaga kerajaan sementara, Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman meminta agar upacara angkat sumpah dilakukan segera. Jeffrey ialah Presiden Sabah Star yang memenangi dua kerusi dan telah melafazkan ikrar sokongan terhadap BN Sabah. Sementara itu, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Upko kekal bersama Musa selepas pemangku presiden parti itu, Datuk Wilfred Tangau mengumumkan Upko akan meninggalkan BN. Ramai rakyat Sabah menyuarakan kekecewaan mereka dengan keputusan Jeffrey dan melabelkan beliau sebagai 'pengkhianat'. Penduduk Sabah, Yee I-Lann mendakwa Jeffrey yang merupakan Ahli Parlimen Keningau dan Adun Tambunan bukan sahaja mengkhianati pengundinya, tetapi seluruh rakyat negeri itu. "Dia patut tahu dan faham dengan lebih baik sentimen rakyat Sabah. Apa yang dilakukannya membuatkan kami hilang keyakinan terhadap pemimpin. "Dia mengkhianati rakyat dan ia akan berlaku lagi pada masa akan datang sehingga kami bangkit daripada perbuatan keji pemimpin," katanya ketika ditemui pada perhimpunan itu, Khamis.