KLANG: Sejarah tercipta sekali lagi buat kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor apabila Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Alam Shah, di sini Jumaat petang. Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu dilakukan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bermula jam 3.30 petang. Mohamed Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa merangkap Timbalan Presiden PKR dilantik sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua selepas menggantikan mantannya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam penggal yang lalu. Majlis berkenaan disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan pembesar-pembesar negeri. Majlis angkat sumpah bagi jawatan barisan Exco pula dijangka akan diadakan pada Isnin depan. Terdahulu, keputusan PRU14 di Selangor menyaksikan Harapan memenangi 51 kerusi Dun, empat dimenangi oleh BN dan satu oleh Pas yang keseluruhan kerusi adalah 56.-SinarHarian