suria

Sultan Johor umum nama MB esok

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar (tengah) berkenan menerima menghadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bagi mempersembahkan nama calon menteri besar serta barisan exco kerajaan negeri yang baharu di Istana Pasir Pelangi, Jumaat. Turut berangkat Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan membuat keputusan dan mengumumkan nama bakal menteri besar yang baharu, Sabtu.

Menurut catatan laman rasmi Facebook Sultan Johor, baginda bertitah demikian kepada Royal Press Office (RPO) iaitu pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor selepas menerima menghadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Pasir Pelangi, di sini, Jumaat.

"Saya mengadakan perbincangan yang cukup baik dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya bersedia bekerjasama dengan Menteri Besar dan kerajaan negeri yang baharu," titah Sultan Johor kepada RPO seperti dimuat naik dalam Facebook tersebut.

Pertemuan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Sultan Ibrahim itu berlangsung selama 90 minit dan dalam suasana penuh mesra, menurut laman Facebook berkenaan.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam Pilihan Raya Umum ke-14 manakala Barisan Nasional (BN) mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi.-- Bernama

MB, Johor, Sultan Johor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain