suria

PH adakah mesyuarat pertama Majlis Presiden hari ini

Dr Mahathir mengadakan sidang media khas malam tadi. Turut hadir Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (duduk kanan) dan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu (duduk kiri). - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden yang pertama hari ini selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu, yang menyaksikan gabungan itu membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perjumpaan pertama dengan media tempatan dan antarabangsa selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh, malam tadi, berkata mesyuarat itu akan membincangkan pembentukan barisan Kabinet baharu.

“Esok (hari ini) adalah hari cuti. Tetapi saya tidak akan mengambil apa-apa cuti. Walaupun saya perdana menteri, saya terikat untuk mempertimbangkan pandangan parti-parti komponen, bagaimana kita membahagikan bilangan jawatan menteri di antara kita.

“Terdapat beberapa perkara yang perlu kita lakukan...ada yang diperlukan secara rasmi dan ada yang berkaitan keputusan dasar. Jadi ia adalah masa yang sibuk,” kata pemimpin berusia 92 tahun itu.

Dr Mahathir, yang mengetuai gabungan empat parti - PPBM, PKR, DAP dan Amanah pada Rabu telah mencipta kemenangan yang menakjubkan dalam PRU14 apabila mengakhiri penguasaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara selama enam dekad.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pertemuan dengan kumpulan media pada sidang yang amat dinantikan itu, Dr Mahathir juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah memberikan gabungan itu semangat keberanian dan harapan dalam mengharungi pilihan raya itu.

“Semangat yang ditunjukkan itu sangat hebat dan ia tidak pernah dilihat dalam sejarah politik Malaysia, “ katanya.

Beliau berkata sebelum pilihan raya, PH hanya meramalkan dapat memenangi sekitar 100 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia dan beberapa kerusi lagi di Sabah dan Sarawak.

Tetapi ternyata, katanya, gabungan itu berjaya mencapai lebih daripada 120 kerusi Parlimen di seluruh negara.

“Kami telah mencapai majoriti mudah yang membolehkan kami menubuhkan kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir, yang telah kembali semula sebagai perdana menteri untuk kali kedua, berkata beliau akan mentadbir negara berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang negara ini.

“Kami sangat bersemangat untuk memastikan Perlembagaan didukung dan penguatkuasaan undang-undang negara ini adalah apa yang akan membimbing kami dalam pentadbiran kami,” katanya.

Beliau berkata kerajaannya juga akan memansuhkan undang-undang yang bercorak menindas dan tidak adil seperti antiberita tidak benar dan Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, beliau akan mendapat bantuan individu-individu yang tampil untuk membantu PH semasa kempen pilihan raya menerusi pembiayaan kewangan dan sokongan.

Beliau percaya mereka semua mempunyai keberanian untuk tampil seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rais Yatim ‘tetapi sudah tentu keberanian adalah komoditi yang sukar ditemui di negara ini”.

“Kami mempunyai orang yang cukup berani tampil ke depan dan menyumbang wang kepada kita. Mereka tidak memberitahu sesiapa...mereka datang secara diam-diam kerana anda tahu apa yang akan berlaku kepada mereka nanti.

“Seandainya mereka dilihat terlalu rapat dengan PH khususnya dengan saya, mereka ini akan dikunjungi oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan kadang-kadang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka ini dipaksa membayar cukai tambahan yang tidak sepatutnya,”katanya.

Dr Mahathir berkata PH berhasrat untuk mengkaji jumlah bayaran cukai dipaksa bayar dan ingin memulangkan jumlah itu serta beberapa pegawai kerajaan yang telah diturunkan pangkat atau kedudukan.

“Kami akan meneliti kes-kes mereka dan sekiranya mereka berhak, mereka akan dinaikkan pangkat,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan politik di Sabah pada PRU14, beliau berkata penjumlahan undi pada awal mendapati Parti Warisan Sabah (Warisan) telah memenangi 32 atau 33 kerusi dewan undangan negeri tetapi perkiraan semula berikutnya mendapati bilangan kerusi merosot kepada 29 kerusi.

Beliau berkata ia disusuli oleh cubaan untuk 'membeli' beberapa pemenang supaya parti sebelumnya dapat menubuhkan kerajaan negeri selain cubaan untuk menghalang Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diisytiharkan pemenang dan membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“Ini amat malang kerana saya tahu Shafie mendapat sokongan yang cukup besar daripada rakyat di mana sahaja dia pergi dan namun ketika pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati perlu ada perkiraan semula undi satu demi satu kerusi,” katanya.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri Malaysia keempat dari tahun 1981 hingga 2003. - BERNAMA

Tun M, Pakatan Harapan, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Lain