KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah kini memperoleh 35 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus layak membentuk kerajaan di negeri ini. Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal pada sidang medianya mengumumkan enam ahli dewan undangan negeri (Adun) BN menyertai parti berkenaan. Enam Adun BN itu melibatkan empat wakil rakyat Umno dan dua dari Upko. Adun Umno adalah Datuk Abdul Muis Pichu (Sebatik); Datuk Hamisah Samat (Tanjong Batu); Osman Jamal (Balung); dan Jamawi Jaafar (Kemabong), manakala Adun Upko yang terlibat adalah Ewon Benedick (Kedamaian) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan). Shafie menjelaskan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Sabah untuk menunjukkan Warisan mendapat sokongan majoriti. Katanya, kini terpulang kepada Yang Dipertua untuk meminta Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman meletakkan jawatan. Drama politik di Sabah semakin menarik selepas Musa yang juga Pengerusi BN Sabah, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri, di sini, Khamis malam. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu lalu, Warisan memenangi 21 kerusi DUN manakala PKR dan DAP masing-masing dua dan enam kerusi. BN pula menang 29 kerusi DUN dan Parti Solidariti Anak Negeri (Star) menyandang dua kerusi.