suria

“Tony Fernandes hero, bukan pengkhianat” - Syed Saddiq

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang sebelum ini dilihat menunjukkan sokongannya kepada Barisan Nasional (BN) sebenarnya adalah seorang wira tidak didendang.

Kata Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beliau tidak boleh melihat seorang wira dituduh sebagai pengkhianat, sedangkan bos AirAsia itu merupakan antara individu terawal yang membantu Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas dihukum kerana menyuarakan kebenaran.  

"Beliau (Tony) sekali lagi menjadi wira apabila AirAsia menawarkan diskaun tambang penerbangan dan menambah penerbangan ketika tempoh pilihan raya.  

"Ini telah menakutkan beberapa orang yang berpihak kepada Datuk Seri Najib Razak dan menjadi semakin parah selepas pihak Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan) memuat naik poster berterima kasih di atas tindakan itu. 

"Ia bermakna lebih ramai penyokong Warisan boleh terbang balik ke kampung untuk mengundi," tulisnya melalui posting yang dimuat naik ke Twitter pada Jumaat. 

Tambah Ahli Parlimen berusia 26 tahun itu, kebaikan Tony tidak berakhir di situ kerana beliau juga enggan memecat Pengerusi AirAsia X Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz selepas tokoh politik itu mengkritik kepimpinan terdahulu secara terbuka. 

Syed Saddiq mendakwa Tony kekal berhati-hati tetapi ada harga yang perlu dibayar oleh sokongan yang dilakukan secara sembunyi itu. 

Tony bergambar bersama bekas perdana menteri, Najib di hadapan kapal terbang AirAsia yang menggunakan logo BN.

Dakwa bekas pendebat terbaik Asia itu, Tony dipaksa untuk menunjukkan sokongannya kepada kerajaan yang memerintah secara terbuka. 

"Beliau perlu merakam video dan kakitangannya perlu menukar uniform mereka.  

"Gambar seluruh program itu diambil tanpa konteks yang betul. 

"Tolong Malaysia, jangan label beliau sebagai pengkhianat," tambah Syed Saddiq. 

Setakat ini, posting tersebut menerima lebih 6,600 'retweet' dan 4,800 tanda suka (likes). 

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata bahawa dakwaanya itu adalah berdasarkan perkara yang diketahuinya.  

Beliau turut berjanji bahawa kini adalah permulaan bagi era baharu dalam memastikan hak untuk mengkritik kerajaan boleh dilakukan secara terang-terangan tanpa rasa takut mereka akan ditindas.

Syed Saddiq, AirAsia, Tony Fernandes

Artikel Lain