AYER KEROH: Bekas Ketua Menteri Melaka di bawah kerajaan BN, Datuk Seri Idris Haron berkata, beliau akan menjadi pembangkang yang baik demi kebaikan rakyat dan kemajuan negeri Melaka. “Saya akan bersama-sama di Dewan Undangan Negeri mewakili rakyat di Sungai Udang serta bersama 13 orang Adun dari BN lain akan bertindak sebagai pembangkang yang baik untuk rakyat dan memberikan pandangan positif dan konstruktif bagi meneruskan kemajuan Melaka,” katanya. Idris ditemui di majlis istiadat mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri yang baharu di bawah Pakatan Harapan (Harapan) di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakub di Ayer Keroh di sini. Turut sama, 12 lagi Adun BN yang memenangi kerusi Dun pada PRU yang diadakan pada 9 Mei lalu. Idris sendiri memenangi kerusi Dun Sungai Udang menewaskan calon PKR, Mohd Lokman Abdul Ghani dengan majoriti 2,229 undi. Selain Sungai Udang calon BN turut berjaya mempertahankan 12 lagi kerusi iaitu, Pantai Kundur, Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Asahan, Ayer Molek, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai. - Sinar Harian