suria

Sah! Najib, Rosmah tak boleh ke luar negara

Gambar fail. -fotoREUTERS

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disekat ke luar negara.

"Jabatan Imigresen Malaysia ingin mengesahkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor baru sahaja disenarai hitamkan dari keluar negara," jelas Jabatan Imigresen di laman Facebook pada Sabtu.

Artikel berkaitan: Jabatan Imigresen nafi Najib, Rosmah disekat ke luar negara

Pengumuman itu dibuat selepas Najib memaklumkan mahu bercuti keluar negara bersama keluarga untuk berehat seketika, dalam satu kenyataan akhbar, pagi Sabtu.

Najib berkata dalam tempoh tersebut beliau akan membuat keputusan mengenai statusnya dalam parti.

"Dalam tempoh ini, saya akan mengambil keputusan mengenai kedudukan saya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional, dengan mengambil kira kemerosotan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional pada PRU ke-14.

"Saya mengambil maklum pelbagai pandangan pemimpin dan ahli-ahli parti di semua peringkat mengenai kedudukan saya.

"Sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan pilihan Raya Umum ke-14," jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Jelasnya, sebarang keputusan akan memastikan Umno dan Barisan Nasional sebagai parti yang paling banyak kerusi di Parlimen terus kekal utuh agar dapat terus menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat.

"Sekembalinya ke tanah air minggu depan, saya akan memaklumkan keputusan tersebut dan perancangan masa depan saya.

"Sepanjang tempoh ini saya memohon semua ahli Umno dan Barisan Nasional bertenang dan tabah serta terus menguatkan ikatan kita terutama dalam suasana politik yang mencabar ini.

"Sebarang keputusan yang saya akan buat nanti, hanyalah untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional agar kembali kuat dan mendapat semula kepercayaan rakyat.

"Saya yakin Umno dan Barisan Nasional dapat mengembalikan kekuatan ini kerana sepanjang 60 tahun mentadbir negara, kita telah membuktikan kemampuan kita berkhidmat kepada rakyat Malaysia.

"Kita semua kena redha dengan ketentuan Allah SWT, selain melihat semua ini sebagai ada hikmahnya. Marilah kita semua berusaha memperbaiki segala kelemahan yang ada."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain