suria

“Saya bukan Cina, saya orang Malaysia”

PETALING JAYA: Kali terakhir jawatan menteri kewangan negara ini disandang oleh pemimpin berketurunan Cina adalah ketika Tun Tan Siew Sin berkhidmat antara 1959 hingga 1974.

Selepas 44 tahun, kini ia bakal diterajui Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (DAP) sebaik keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu.

Seorang wartawan dari stesen Phoenix, China bertanya kepada Setiausaha Agung DAP itu: "Selepas 44 tahun...(anda) menjadi Menteri Kewangan Malaysia yang berketurunan Cina, apakah perubahan yang akan anda lakukan?"

Guan Eng berkata, beliau tidak memikirkan tentang hakikat itu kerana tumpuan utamanya adalah untuk membantu rakyat negara ini keseluruhannya.

"Saya minta maaf, saya tidak anggap diri saya sebagai seorang Cina. Saya orang Malaysia," katanya sambil disambut dengan tepukan dan sorakan pemimpin Pakatan Harapan yang hadir pada sidang media pengumuman anggota Kabinet yang diadakan di Menara Yayasan Selangor di sini pada Sabtu.

Sambil menegaskan bahawa semua pemimpin yang berada pada sidang media tersebut adalah bangsa Malaysia, beliau menambah: "Saya tidak tahu sudah 44 tahun, terima kasih kerana membuat kiraan itu untuk saya."

Jelas bakal menteri kewangan itu, beliau juga akan memastikan rakyat tidak akan hidup susah.

Mengenai kontrak yang pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini, Guan Eng mahu menyemak semua kontrak yang tidak menguntungkan rakyat negara ini.

"Kami akan memastikan hak rakyat, peluang pekerjaan dan perniagaan mereka akan dilindungi.

"Ia dalam bentuk pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mengekalkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sudah tentunya harga bahan api," jelasnya.

Guan Eng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain