KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes. Seorang jurucakap Mavcom berkata badan yang mengawal selia penerbangan di Malaysia itu menganggap dakwaan dalam klip video berdurasi hampir lapan minit yang dimuat naik Fernandes di dalam laman Facebook rasminya hari ini, adalah tuduhan yang serius. “Kami sudah memulakan satu siasatan serta merta terhadap dakwaan itu. Kami akan sentiasa memastikan orang ramai mendapat maklumat mengenai siasatan itu,” kata jurucakap suruhanjaya itu dalam satu kenyataan malam ini. Dalam video berkenaan, Fernandes antaranya mendakwa AirAsia diberitahu oleh Mavcom supaya membatalkan kesemua 120 penerbangan tambahan yang disediakan pada harga yang berpatutan untuk rakyat balik mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Walaupun rakyat amat gembira, Fernandes mendakwa beliau dikenakan tekanan oleh kerajaan sebelum ini apabila ia menyedari syarikat penerbangan itu membawa begitu banyak pengundi. - BERNAMA