KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang juga antara lima pakar Majlis Penasihat Kerajaan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), memberi jaminan kepada para pelabur dan pengurus dana bahawa pihaknya akan menangani semua masalah yang menjejaskan ekonomi selain tidak berhasrat menambah hutang negara. “Tiada sebab lagi untuk meletakkan ekonomi dalam keadaan yang lebih buruk,” katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat bersama barisan pakar lain yang menganggotai Majlis itu di sini, malam tadi. Daim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan pelabur berhubung implikasi terhadap ringgit dan pasaran saham susulan kemenangan mengejut PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan kekalahan kerajaan terdahulu pimpinan Barisan Nasional. Jelas beliau, antara kebimbangan pelabur adalah cadangan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang disifatkan mereka berkemungkinan besar memberi impak terhadap terhadap hasil kerajaan selain turut meningkatkan defisit fiskal. “Kita tidak akan menambah hutang lagi. Kita bukannya bodoh. Ini lebih menjurus kepada spekulasi dan hanya mencetuskan kebimbangan yang tidak wajar sedangkan (apa yang berlaku) merupakan reaksi biasa apabila kerajaan baharu mengambil alih tampuk pemerintahan,” katanya. Daim turut memberi jaminan bahawa Majlis itu mempunyai sekumpulan pakar yang mampu menangani isu terbabit. “Selama 57 tahun GST ini tidak wujud pun dan tidak ada masalah yang timbul,” katanya. Malah, tegas beliau, apa yang lebih penting adalah untuk menghapuskan amalan rasuah. Sementara itu, anggota lain Majlis yang turut hadir hadir pada mesyuarat itu adalah bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican dan ahli ekonomi terkemuka, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram. Ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Robert Kuok bagaimanapun, tidak hadir. Penubuhan Majlis itu diumumkan oleh Perdana Menteri baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang antara lainnya berperanan membantu kerajaan mencapai janji 100 hari PH kepada rakyat seperti dinyatakan dalam manifesto pakatan itu.-Bernama