KUALA LUMPUR: Pembebasan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal memberi perubahan besar dalam senario politik dan pentadbiran negara, kata bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Rais Yatim yang menjangkakan banyak aspirasi baharu bakal dibawa Anwar. "Selepas Anwar dibebaskan nanti segala perhatian akan terarah kepadanya, kerana rakyat ternanti-nanti apakah corak dasar yang akan diperkenalkan Anwar untuk masa depan negara. "Kita harus meneliti aspirasi itu, kerana Anwar mungkin menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan ini adalah satu 'hembusan' baharu dalam arena negara bangsa kita," katanya kepada pemberita. Rais berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu - China di Institut Antarabangsa Peradaban Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), di sini pada Isnin. Menurutnya, kerajaan baharu (Pakatan Harapan) perlu mengekalkan semangat kekitaan, selain tidak mengamalkan kelemahan kerajaan terdahulu Barisan Nasional seperti amalan politik wang. Beliau turut berharap proses pengampunan terhadap Anwar akan berjalan lancar. "Jawatankuasa yang terlibat dalam proses itu perlu meneliti setiap prosedur agar Yang di-Pertuan Agong dapat membuat keputusan baginda mengikut lunas perundangan," katanya. Sebelum ini, Dr Mahathir berkata Yang di-Pertuan Agong bersedia memberi pengampunan kepada Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas disabit kesalahan meliwat dan pengampunan diraja untuk Anwar itu dibincangkan dalam pertemuan antara Sultan Muhammad V dengan pimpinan PPBM, PKR, DAP dan Amanah. - Bernama