suria

Umno gugur keahlian dua Adun BN sokong PH di Perak

Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan dua pemimpin parti itu yang menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan Perak untuk membentuk kerajaan negeri digugurkan secara automatik sebagai ahli Umno.

Dua pemimpin itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

"Secara automatik mereka gugur sebagai ahli Umno. Mereka bukan lagi ahli Umno kerana mereka menyokong kerajaan yang bukan di bawah Barisan Nasional.

"Saya tahu ada yang mengaku bahawa mereka masih menjadi pemimpin Umno tetapi mereka hanya sekadar menyokong kerajan sebelah di sana," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Isnin.

Menurut Ahmad Zahid, tindakan kedua-dua pemimpin tersebut tidak boleh diterima kerana ia tidak termaktub di dalam mana-mana peraturan dan perlembagaan Umno.

"Tidak ada peraturan dan perlembagaan yang menyebutkan bahawa menyokong pihak pembangkang dan terus sebagai ahli sesuatu yang boleh diterima.

"Kedua-duanya terkubur secara automatik... gugur jawatan," katanya.

PH membentuk kerajaan negeri Perak dengan majoriti 31 kerusi setelah mendapat sokongan dua wakil rakyat BN berkenaan.

Ahmad Zahid Hamid, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain